Duta Besar AS peringati ulang tahun Perang Dunia II

Duta Besar AS peringati ulang tahun Perang Dunia II

BANDAR SERI BEGAWAI, 6 Nov – Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen, baru-baru ini, telah menyertai pegawai pemerintah, krew dan pegawai-pegawai AS di atas Kapal USS Lassen bagi memperingati kehilangan sembilan orang kelasi AS dari kapal pemusnah periuk api USS Salute, yang karam di Teluk Brunei pada 8 Jun 1945 selepas terkena periuk api. Selepas menyampaikan ucapan yang mengiktiraf keberanian dan sumbangan kelasi-kelasi berkenaan, mengorbankan nyawa untuk menyokong kebebasan Brunei, Tuan Yang Terutama telah meletakkan lingkaran bunga di atas bangkai kapal USS Salute.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, upacara pada 4 November lalu itu, turut dihadiri oleh Pegawai Pemerintah USS Lassen CDR Robert C Francis, Laksamana Pertama H B Le dari Deseon 7, Atase Pertahanan ke Brunei, Kolonel Stephen C Ma dan para pegawai Kedutaan AS.

Upacara meletakkan kalungan bunga itu juga memperingati Ulang Tahun ke-70 berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1945.

Menurut kenyataan itu, USS Salute yang merupakan kapal pemusnah periuk api seberat 945 tan dengan krew seramai 100 orang pegawai dan kelasi, sedang menjalankan operasi memusnah periuk api di Teluk Brunei apabila ia karam pada Jun 1945. Pada 8 Jun 1945, selepas memusnahkan 143 periuk api dari laluan masuk pelabuhan di sepanjang pantai Borneo, periuk api ke-144 mengakibatkan Salute karam di Teluk Brunei, dengan mengorbankan enam krew dan tiga lagi hilang.

Tuan Yang Terutama Craig Allen ketika menyampaikan ucapan di atas Kapal USS Lassen.
Tuan Yang Terutama Craig Allen ketika menyampaikan ucapan di atas Kapal USS Lassen.
Duta Besar AS ketika meletakkan lingkaran bunga bagi memperingati Ulang Tahun ke-70 Perang Dunia Kedua.
Duta Besar AS ketika meletakkan lingkaran bunga bagi memperingati Ulang Tahun ke-70 Perang Dunia Kedua.

Ketika upacara peringatan itu, loceng dibunyikan ketika nama setiap kelasi yang terkorban dibacakan.

Bangkai Kapal USS Salute terkenal dalam kalangan para penyelam di Teluk Brunei sebagai ‘American Wreck’.

Semasa menyampaikan ucapan pada upacara berkenaan, Tuan Yang Terutama menyampaikan terima kasih kepada pegawai pemerintah dan krew USS Lassen atas sokongan mereka dalam latihan CARAT tahun ini bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

“Seperti Salute pernah berada di Brunei 70 tahun lalu untuk memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini, begitu juga dengan latihan CARAT untuk membantu Brunei dan AS menangani cabaran keselamatan yang dikongsi sama, mengukuhkan usaha sama maritim mereka dan meningkatkan saling kendali,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA