Duta besar hos Sambutan Pesta Air Myanmar

Duta besar hos Sambutan Pesta Air Myanmar

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Duta Besar Myanmar ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama U Cho Htun Aung dan isteri, Daw Nann Yin Mein Win telah menghoskan Sambutan Pesta Air Myanmar yang berlangsung di kediaman rasmi mereka di Rimba, hari ini.

Antara tetamu yang hadir termasuklah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, para diplomat negara sahabat ke Brunei Darussalam dan warga Myanmar di negara ini.

TYT U Cho Htun Aung berkata, “Festival air yang diadakan ini adalah untuk memperkenalkan dan memperlihatkan kepada tetamu yang hadir akan keunikan dan tradisi yang terdapat di negara mereka”.

Menurutnya lagi, tradisi festival ini berlangsung selama tiga hari terakhir setiap tahun dalam kalendar Myanmar yang dianggap sebagai tempoh peralihan dari tahun lama ke tahun baru.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih antara tetamu yang hadir pada sambutan itu.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih antara tetamu yang hadir pada sambutan itu.
Kanak-kanak juga tidak terkecuali menyertai Pesta Air dengan menyiram air di antara satu dengan lain.
Kanak-kanak juga tidak terkecuali menyertai Pesta Air dengan menyiram air di antara satu dengan lain.

“Apa yang kita sentiasa lakukan sepanjang tempoh peralihan ini adalah untuk meraikan majlis itu dengan perayaan air yang bertujuan untuk ‘mencuci’ dosa setahun yang lalu dan untuk memastikan semua orang sejuk dan segar pada tahun akan datang,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, secara tradisinya, Pesta Air Myanmar diadakan setiap tahun dari 14 hingga 16 April yang mana sebelum 17 April yang menandakan Hari Tahun Baru ‘Thingyan’.

Sambutan itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan Myanmar dalam bentuk lagu-lagu tradisional dan tarian.

Festival Air adalah perayaan tahun baru yang diraikan di beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti Myanmar, Kamboja, Laos dan Thailand serta Yunnan, China.

ARTIKEL YANG SAMA