Dutch Lady ingin raih sebanyak RM1 bilion

Dutch Lady ingin raih sebanyak RM1 bilion

PETALING JAYA, 27 Mei (Bernama) – Dutch Lady Milk Industries Bhd, menjangka dapat mengulangi pendapatan sebanyak RM1 bilion yang dicatatkan dalam tahun lepas pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, kata Pengarah Urusan, Saw Chooi Lee.

Katanya, ia mungkin menjadi kenyataan berikutan pengenalan rangkaian produk cecair susu baharu di bawah jenama Pure Farm, Dutch Lady.

“Ini seiring dengan pengukuhan produk sedia untuk diminum yang membantu pertumbuhan dan keperluan kanak-kanak,” katanya.

Syarikat itu kekal optimis dalam keadaan pasaran yang mencabar, terutamanya disebabkan oleh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kami menjangkakan bahawa GST akan melemahkan keyakinan pengguna disebabkan tekanan inflasi dan cabaran ekonomi yang lain.

“Namun begitu, kami kekal fokus dan komited untuk memanfaatkan kekuatan jenama untuk terus membina hubungan dengan pengguna kami,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Dutch Lady memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM18 juta bagi tahun kewangan 2015, sama seperti tahun lepas.

Bagi tahun kewangan yang baru berakhir pada 31 Dis, 2014, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM148.4 juta daripada RM187 juta, tetapi pendapatan adalah lebih tinggi pada RM1 bilion daripada RM980 juta.

Sejumlah RM140.8 juta telah dibayar sebagai dividen interim dalam tahun berkenaan.