Duterte ancam keluarkan Filipina dari PBB

Duterte ancam keluarkan Filipina dari PBB

MANILA, 21 Ogos – Presiden Rodrigo Duterte hari ini mengancam akan mengeluarkan Filipina dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), apabila beliau melancarkan satu lagi bidasan keji ke atas pertubuhan itu kerana mengkritik perang berdarahnya ke atas jenayah.

Lebih 1,500 orang terbunuh sejak Duterte memegang jawatan Presiden dan segera memulakan tindakan undang-undang dan ketenteramannya, menurut statistik polis, yang mencetuskan kritikan hebat dari PBB dan kumpulan-kumpulan hak asasi kemanusiaan.

Duterte, peguam yang terkenal dengan kata-kata pedasnya yang berkali-kali memberitahu PBB supaya tidak campur tangan, hari ini meningkatkan retoriknya.

“Mungkin kita terpaksa memutuskan untuk berpisah dari PBB. Jika kamu tidak bersikap hormat, maka saya berundur saja,” Duterte berkata dalam sidang media di bandar kelahirannya, Davao yang bermula kira-kira pukul 1 pagi.

Duterte berkata beliau malah berhasrat menubuhkan pertubuhan antarabangsa lain.

Gambar fail: Duterte. – AP
Gambar fail: Duterte. – AP

“Saya akan menjemput semua pihak, mungkin saya akan menjemput China, negara-negara Afrika,” ujarnya.

Pelapor khas PBB berhubung pelaksanaan hukuman mati terus, Agens Callamard minggu lalu berkata janji Duterte bagi kekebalan dan ganjaran kepada pasukan keselamatan yang membunuh suspek jenayah dadah, mencabuli undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon pada Jun lalu juga sekeras-kerasnya mengkritik Duterte, yang ketika kempen pilihan raya berjanji akan membunuh 100,000 orang dan membuang begitu banyak mayat ke dalam Teluk Manila dan ikan akan menjadi gemuk dengan memakan mayat-mayat itu.

“Saya sejelas-jelasnya menyelar sokongannya kepada pembunuhan di luar bidang kuasa yang menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asas dan kebebasan,” kata Ban.

Duterte kerap menambah ulasan terbukanya dengan kata-kata pedas – beliau juga pernah menggelar Pope Francis dan duta AS ke Manila anak perempuan jalang dan beberapa hari selepas memenangi pilihan raya, beliau menggunakan bahasa biasa untuk mengkritik PBB. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA