Duterte beri kebenaran

Duterte beri kebenaran

PUTRAJAYA, 10 Nov – Kerajaan Filipina membenarkan Malaysia melaksanakan operasi mengejar penculik bagi mendapatkan wang tebusan sehingga merentasi sempadan maritim negara berkenaan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kebenaran itu diberikan oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte dalam pertemuan mereka di sini hari ini sempena lawatan rasmi presiden itu ke Malaysia selama dua hari bermula semalam.

Najib memberikan contoh sekiranya pihak berkuasa Malaysia sedang mengejar kumpulan penculik dan kumpulan pengganas yang melarikan diri ke perairan sempadan Filipina, pasukan Malaysia boleh terus mengejar mereka merentasi sempadan Filipina.

“Duterte telah memberikan kebenaran untuk mengambil tindakan mengejar mereka (kumpulan itu) kalau tidak, mereka akan terlepas.

“Cuma Duterte meminta pihak berkuasa Malaysia menghubungi tentera laut Filipina apabila mereka tiba di sempadan perairan Filipina untuk meneruskan operasi mengejar agar Filipina tahu kita memasuki perairan mereka,” katanya selepas pertemuannya dengan Duterte dan delegasinya.

Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bersama Rodrigo Duterte semasa menerima kunjungan Presiden Filipina itu di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bersama Rodrigo Duterte semasa menerima kunjungan Presiden Filipina itu di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama

Najib berkata ia merupakan perkembangan terbaharu yang dipersetujui Duterte dan Presiden Indonesia Jokowi sebelum ini.

Beliau berkata menteri-menteri pertahanan Filipina, Indonesia dan Malaysia akan bertemu di Vientiane, Laos pada 22 November ini bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) dan aspek perundangan pelaksanaan operasi itu.

Najib berkata perkembangan terbaharu ini memberi isyarat jelas komitmen kerajaan Filipina untuk mengurangkan serta menghapuskan insiden penculikan warga Malaysia di Sabah.

“Malaysia dan Filipina setuju masalah ini sangat serius sehingga mengganggu ketenteraman rakyat Sabah,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja, 10 warga Malaysia telah diculik dan lima lagi masih ditahan oleh kumpulan penculik untuk wang tebusan.

Ketika ditanya bila tindakan mengejar itu akan bermula, Najib berkata ia akan dikuatkuasakan secepat mungkin selepas menteri pertahanan dapat mencari penyelesaian berhubung prosedur operasi standard (SOP).

“Perkembangan terbaru ini adalah satu cara yang praktikal bagi membantu satu sama lain kerana kita benar-benar perlu untuk menghapuskan kejadian penculikan yang menjejaskan keselamatan dan kebajikan, bukan sahaja untuk rakyat Sabah tetapi juga rakyat asing yang berkunjung ke negara ini,” kata Najib.

Mengenai soal pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, Perdana Menteri berkata Presiden Duterte bersetuju dengan hasrat Malaysia untuk menghantar pulang 7,000 PATI Filipina dalam depoh tahanan secara berperingkat. – Bernama