Duterte naikkan bajet perangi jenayah

Duterte naikkan bajet perangi jenayah

MANILA, 16 Ogos – Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah mengumumkan pertambahan mendadak dalam belanjawan negara pada tahun depan untuk membiayai perang beliau ke atas jenayah, dengan anggota keselamatan mendapat kenaikan gaji besar.

Orang luar politik itu memperoleh kemenangan pilihan raya besar pada Mei dan dengan serta merta melaksanakan satu tindakan keras anti-dadah yang telah melihat polis dan anggota sukarelawan membunuh lebih daripada 1,000 orang, menurut angka media.

Dalam mengumumkan belanjawan 2017 sebanyak 3.35 trilion peso (AS$72.3 bilion), meningkat 11.6 peratus daripada tahun ini, Duterte berkata lewat semalam satu keutamaan untuk perbelanjaan kerajaan meningkat “adalah tindakan menumpaskan jenayah yang lebih efektif.”

Belanjawan polis akan bertambah sebanyak 24.6 peratus, kepada 110.4 bilion peso, dengan wang dibelanjakan ke atas pengambilan lebih ramai pegawai, menambah gaji mereka dan membeli lebih banyak senapang, menurut kenyataan kerajaan.

Belanjawan badan kehakiman akan meningkat sebanyak 21.5 peratus untuk membantu mereka mengendali lebih banyak kes, katanya.

Duterte juga merancang menambah belanjawan tentera sebanyak 15 peratus, kepada 130.6 bilion peso.

Tidak ada butir-butir yang dikeluarkan mengenai kenaikan gaji tentera dan polis, tetapi Duterte, presiden untuk tempoh enam tahun akan datang, telah berkali-kali berikrar akan menambahnya dua kali ganda.

Untuk mengatasi apa yang digambarkan oleh kerajaan sebagai rangkaian infrastruktur negara yang ‘terputus’, Duterte akan membelanjakan 860.7 bilion peso, naik 13.8 peratus daripada tahun 2016, untuk membaiki atau membina jalan raya, landasan kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang.

Angka tersebut merangsang perbelanjaan infrastruktur kepada 5.4 peratus daripada jumlah pengeluaran ekonomi negara pada tahun depan, dengan sasaran akhirnya meningkat kepada antara enam dan tujuh peratus daripada keluaran dalam negara kasar, tambahnya.

Menurut ramalan oleh Bloomberg, belanjawan 2017 mungkin menambah defisit kerajaan kepada 478.1 bilion peso atau 3.0 peratus daripada KDNK, daripada 2.7 peratus yang diramalkan pada tahun ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA