DWE taja pelajar FIT sasar sektor runcit

DWE taja pelajar FIT sasar sektor runcit

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Sebuah firma kejuruteraan tempatan dan syarikat-syarikat lain telah menyediakan pengalaman dan sokongan kewangan kepada projek-projek yang dikendalikan oleh mahasiswa-mahasiswi keusahawanan Fakulti Teknologi Berintegrasi (FIT) Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Menurut kenyataan UBD, hari ini, pada 20 April lalu, Damit WorleyParsons Engineering Sdn Bhd (DWE) telah menaja pelajar-pelajar FIT bagi projek-projek inovatif para pelajar FIT berkenaan yang menyasarkan sektor runcit.

Pada acara itu, pelajar-pelajar kejuruteraan FIT telah mempamerkan projek-projek mereka, yang merupakan sebahagian daripada modul Inovasi dan Keusahawanan di fakulti tersebut, kepada barisan panel hakim terdiri daripada kakitangan kanan DWE dan pengusaha-pengusaha tempatan.

Dana yang disediakan oleh DWE itu telah disampaikan oleh Ketua Sumber-sumber Manusia DWE, Haji Hamdan bin Haji Abdul Hamid, yang termasuk hadiah wang tunai bagi pasukan pelajar terbaik, dipilih oleh barisan panel hakim pada hari itu.

Dalam ucapan alu-aluannya, penyelaras Inovasi dan Keusahawanan, Dr Regan Watts yang merupakan Profesor Madya di FIT, berkata bahawa salah satu objektif pembelajaran peringkat lebih tinggi bagi modul ini adalah bagi pelajar mendapatkan pengalaman ekosistem inovasi tempatan.

Haji Hamdan ketika menyampaikan tajaan.
Haji Hamdan ketika menyampaikan tajaan.

“Satu lagi objektifnya adalah untuk mendedahkan pelajar-pelajar kepada peluang-peluang mengumpulkan modal usaha niaga bagi melanjutkan lagi cita-cita keusahawanan mereka,” tambah beliau.

Menurut kenyataan itu, maklum balas daripada panel hakim adalah sangat positif, yang mana salah seorang hakim, Pengarah dan Arkitek Utama Eco Bumi Arkitek, Dayang Siti Rozaimerianty binti DSLJ Haji Abdul Rahman telah bersetuju untuk mengambil salah satu prototaip sistem projeksi holografi oleh ‘Team Holo’ ke dalam pejabat seni binanya dan bekerjasama dengan pereka profesional untuk membantu pelajar-pelajar kejuruteraan berkenaan mengetengahkan produk mereka.

Mendedahkan pelajar kepada pihak-pihak berkepentingan dalam industri tempatan adalah objektif pembelajaran penting bagi modul berkenaan, jadi gabungan pasukan pelajar dengan mentor perniagaan adalah satu hasil penting bagi acara itu.

DWE juga menyatakan bahawa mereka akan terus menyediakan sebarang bentuk sokongan akademik kepada FIT, UBD sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat setempat.

Turut hadir semasa acara itu adalah pegawai dan kakitangan fakulti dan para mahasiswa-mahasiswi UBD.