Dybala sekat hajat Chievo

Dybala sekat hajat Chievo

MILAN, 14 Sept (AFP) – Paulo Dybala menyempurnakan penalti pada lewat permainan untuk membolehkan Juventus seri 1-1 dengan Chievo dan ketinggalan enam mata di belakang musuh tradisi AS Roma menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Manchester City.

Juventus yang tewas di final Liga Juara-Juara musim lalu, bakal bertemu City pada saingan Kumpulan D awal pagi Rabu ini dan prestasi semasa yang dipamerkan kelab Itali itu memberi petanda bahawa skuad kendalian Manuel Pellegrini berpeluang cerah untuk mengumpul tiga mata ketika bertemu juara Itali itu nanti.

Selepas berdepan permulaan paling buruk dalam kempen Serie A apabila tewas di tangan Udinese dan Roma, Juventus menanti kunjungan Chievo di Turin dan mereka terdesak untuk mengumpul tiga mata bagi melonjakkan semangat bertemu City.

Dybala mengucup bola selepas menjaringkan gol semasa menentang Chievo di Stadium Juventus kelmarin. – AFP
Dybala mengucup bola selepas menjaringkan gol semasa menentang Chievo di Stadium Juventus kelmarin. – AFP

Jurulatih Massimiliano Allegri meletakkan Juan Cuadrado, Mario Mandzukic dan Paul Pogba di bangku simpanan, sekali gus memberi peluang buat bekas pemain tengah Inter Milan, Hernanes serta pertahanan Brazil, Alex Sandro.

Trio yang direhatkan itu bagaimanapun tetap dimasukkan selepas Juve perlu mencari gol apabila Perparim Hetemaj melepaskan rembatan rendah yang gagal dihalang Gianluigi Buffon untuk gol pelawat pada minit kelima.

“Kesilapan yang kami lakukan membolehkan lawan menjaringkan gol,” kata Allegri.