Dzeko tebus p...

Dzeko tebus penalti, Inter menang

MILAN, 13 Feb – Edin Dzeko menebus balik kegagalannya selepas terlepas peluang menjaringkan gol di separuh masa pertama menerusi sepakan penalti, dengan menjaringkan gol kedua Roma dalam kemenangan 2-0 ke atas Crotone bagi mengekalkan cabaran kejuaraan Serie A ‘hangat’.

Kemenangan ke-17 Roma dalam kempen ini telah melonjakkan pasukan Luciano Spalletti kembali ke tangga kedua, namun masih ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Juventus.

Sementara dalam perlawanan lain, Eder dan Antonio Candreva masing-masing menjaringkan satu gol ketika Inter naik ke tangga keempat, 15 mata di belakang Juventus, dengan kemenangan selesa 2-0 di laman sendiri ke atas Empoli.

Dzeko, meskipun gagal menjaringkan penalti di separuh masa pertama, menebus kekecewaan itu dengan jaringan kedua Roma dan jaringannya ke-18 musim ini, sekali gus memberikannya kelebihan satu gol dengan Belotti dalam senarai penjaring terbanyak Serie A.

Roma mendapat jaringan pendahuluan di minit ke-40 apabila Radja Nainggolan menerima hantaran Mohamed Salah dan menewaskan Alex Cordaz dengan rembatan ke penjuru gawang.

Para pemain Roma mengucapkan tahniah kepada penyerang Roma, Edin Dzeko (tengah) selepas dia menjaringkan gol kedua ke atas Crotone. – AP
Para pemain Roma mengucapkan tahniah kepada penyerang Roma, Edin Dzeko (tengah) selepas dia menjaringkan gol kedua ke atas Crotone. – AP

Pasukan pelawat menggandakan pendahuluan mereka tidak lama selepas perlawanan disambung apabila Dzeko menyudahkan hantaran Salah.

Selepas perlawanan Dzeko mengakui: “Selepas ini saya akan menyuruh orang lain mengambil sepakan penalti, tetapi ia bukanlah satu masalah besar.”

Spalleti memuji Salah sekembalinya dari persaingan Piala Negara-Negara Afrika, di mana Mesir tewas kepada Cameroon dalam perlawanan akhir.

Kemenangan 2-0 Inter di San Siro hadir meskipun tanpa Mauro Icardi, Ivan Perisic, yang masing-masing menjalani penggantungan dua dan satu perlawanan, dan Marcelo Brozovic yang mengalami kecederaan.

Jurulatih Stefano Pioli berkata: “Ia perlumbaan yang sukar. Satu-satunya peluang kami adalah memenangi semua perlawanan.” – AFP