E-dagang lonjak pasaran pos laju

E-dagang lonjak pasaran pos laju

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) – Pos Laju, unit kurier Pos Malaysia Bhd, menguasai 38 peratus bahagian pasaran industri kurier domestik pada 2015, meningkat daripada 25 peratus pada 2008, susulan peningkatan sektor e-dagang.

Segmen perkhidmatan pos itu turut mencatat pertumbuhan, didorong e-dagang sebagai faktor utamanya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Bagi tahun ini, Pos Malaysia menjangkakan penyertaan lebih ramai penggiat e-dagang dan cabaran dalam bentuk memenuhi kemampuan penghantaran.

“Pos Malaysia secara keseluruhannya juga optimis terhadap pertumbuhan tahun ini biarpun berdepan saingan penyedia perkhidmatan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen ‘Hantar dan Menang’ Pos Malaysia, di sini, hari ini, yang bertujuan memberi ganjaran kepada pelanggan setia atas sokongan berterusan terhadap produk dan perkhidmatan Pos Laju.

Mengulas lanjut, Mohd Shukrie berkata selain pasaran domestik, Pos Malaysia juga berhasrat mempertingkatkan kehadirannya di peringkat serantau dengan menjalin lebih banyak usaha sama.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut usaha sama berkenaan.

Dua tahun lepas, Pos Malaysia menjalin kerjasama perniagaan dengan pihak China Post serta Pos Indonesia yang melibatkan perkhidmatan kiriman wang.

Mengulas kempen ‘Hantar dan Menang’ bermula 1 Mac hingga 31 Mei 2016, beliau berkata Pos Laju menyasarkan ia mampu menjana pendapatan sebanyak RM30 juta.