E-dagang penting lonjak kemajuan ekonomi ASEAN

E-dagang penting lonjak kemajuan ekonomi ASEAN

NANNING, China, 13 Sept – Perdagangan menerusi platform e-dagang, memainkan peranan penting bagi melonjakkan pembangunan ekonomi ASEAN, kata Pengerusi Kumpulan Alibaba, Jack Ma.

Menurutnya ini sejajar perkembangan semasa yang turut menyaksikan kumpulan Alibaba mempromosikan produk dan perkhidmatan China, termasuk industri perkhidmatan serta pembinaan selain mewujudkan lebih tiga juta pekerjaan.

Peringkat seterusnya, kumpulan itu merancang untuk menyertai pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membantu kalangan usahawan muda cemerlang menerusi platform e-dagang berkenaan.

“Kumpulan ini akan mempertingkatkan pelaburan dan pembangunan PKS tempatan serta usahawan-usahawan muda ASEAN,” katanya pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-13 selama empat hari yang bermula 11 September lepas, di sini.

Ma berkata, biarpun wujudnya cabaran perdagangan menerusi platform e-dagang berkenaan, perubahan teknologi sebaliknya akan membawa lebih banyak manfaat, terutama kepada negara sedang membangun.

Jack Ma menyampaikan ucaptamanya semasa majlis perasmian Ekspo China-ASEAN ke-13  dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN yang berlangsung di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China, Ahad lalu. – Xinhua
Jack Ma menyampaikan ucaptamanya semasa majlis perasmian Ekspo China-ASEAN ke-13 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN yang berlangsung di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China, Ahad lalu. – Xinhua

“Negara-negara ini akan lebih yakin mengenai perubahan dalam era data ini. Malah, selagi mereka (negara-negara) lebih bersedia untuk bersifat lebih terbuka dan berdagang menerusi platform ini, aspek globalisasi akan memastikan masa depan lebih cerah untuk semua,” katanya.

Menurut Ma, Lazada yang juga tumpuan pelaburan Kumpulan Alibaba, ternyata muncul antara jenama penting platform e-dagang bagi ASEAN pada masa ini.

Alibaba adalah syarikat e-dagang China yang menyediakan perniagaan sesame pengguna dan perniagaan menerusi portal webnya. Ia yang ditubuhkan pada 1999, turut menyediakan perkhidmatan pembayaran secara elektronik dan pengkomputeran awan yang berteraskan data.

Sementara itu, CAEXPO adalah acara tahunan anjuran bersama China dan 10 negara-negara anggota ASEAN yang bertujuan menggalakkan kerjasama serta pembangunan yang seiring antara China dan ASEAN.

Perdagangan China dan ASEAN bernilai AS$470 bilion pada tahun lepas, meningkat hampir 60 peratus daripada 1991 apabila hubungan itu mula dijalinkan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA