E-mel Zika palsu

E-mel Zika palsu

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Kementerian Kesihatan hari ini menjelaskan bahawa pemakluman yang disebarkan melalui e-mel menggunakan alamat e-mel Ministry.of.Health@Brunei.Healthcare yang menghendaki orang ramai untuk mengisi dan mengirimkan semula borang tersebut yang disertakan dalam e-mel berkenaan sebagai langkah-langkah pengawalan penyakit virus Zika adalah palsu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, kementerian itu menegaskan bahawa pemakluman dan kandungannya adalah palsu dan bukan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan alamat e-mel yang digunakan bukanlah dipunyai oleh Kementerian Kesihatan atau jabatan-jabatan di bawahnya atau mana-mana warga kerja Kementerian Kesihatan.

“E-mel tersebut juga memuatkan maklumat dan nombor telefon Kementerian Kesihatan dengan tujuan untuk membuatkan e-mel tersebut kelihatan rasmi dan seolah-olah ia dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai setakat ini tidak ada kes jangkitan virus Zika dilaporkan di Negara Brunei Darussalam,” tegas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu pihak Kementerian Kesihatan akan terus memantau kejadian jangkitan virus Zika dengan kerjasama pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari semasa ke semasa dan melaksanakan apa jua tindakan yang diperlukan termasuk memaklumkan sebarang perkembangan mengenainya kepada orang ramai.

Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat tentang jangkitan virus Zika ataupun penyakit bawaan nyamuk, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn ataupun menghubungi Healthline Kementerian Kesihatan di talian 145 atau e-mel kepada env.health@moh.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA