E-rokok mungkin diharamkan

E-rokok mungkin diharamkan

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) – Kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vapor dalam masa terdekat bagi mengelak risiko lebih buruk terhadap kesihatan penggunanya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Katanya kementerian sedang meneliti aspek undang-undang penguatkuasaan untuk diguna pakai bagi menambah baik akta sedia ada bagi membolehkan tindakan pengharaman itu dilaksanakan. “Kita (kementerian) jangkakan pelbagai akta boleh diguna pakai di bawah kementerian tertentu dan kita akan pilih akta yang bersesuaian.

“Penggunaan vapor ini perlu dihentikan penggunaannya sebelum ia menjadi suatu masalah yang lebih besar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui entri laman Facebooknya mengesahkan bahawa penggunaan rokok elektronik adalah haram kerana mengikut hukum Islam, penggunaan vapor itu sama seperti rokok sebenar yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

Dilaporkan juga sebelum ini, beberapa pakar kanser berpendapat tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik menjadi punca penggunanya menghidap kanser disebabkan wap nikotin mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik.

Justeru itu, pelbagai pihak termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMA) telah menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan vapor kerana didapati mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.