e-Rokok tidak kurang bahayanya

e-Rokok tidak kurang bahayanya

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Penggunaan peralatan e-Rokok atau e-Cigarette tidak kurang bahayanya dengan menggunakan rokok atau produk-produk tembakau, yang mana ia merupakan salah satu faktor risiko utama kepada penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kanser, kardiovaskular, diabetes dan penyakit pernafasan yang kronik.

Oleh itu, para perokok disarankan untuk berhenti merokok kerana merokok bukan sahaja membahayakan diri perokok itu sendiri tetapi juga keluarga dan masyarakat sekeliling mereka.

“Sihat Tanpa Rokok,” itulah pesanan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof dalam temu bual bersama para media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi Mudah Alih Sihat Tanpa Rokok (STaR) Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2015 yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

“Mereka harus menyedari bahawa tidak ada banyak perbezaan dengan menggunakan peralatan e-Cigarette dengan produk tembakau yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.”

Mengulas lanjut mengenai penggunaan produk seperti e-Rokok, Yang Berhormat Pehin berkata kesan bahaya daripada penggunaannya serupa dengan produk tembakau.

Yang Berhormat Pehin mendengar penerangan mengenai aplikasi STaR yang disampaikan oleh Awang Syahamsudin.
Yang Berhormat Pehin mendengar penerangan mengenai aplikasi STaR yang disampaikan oleh Awang Syahamsudin.

pg05_150604_c

Beliau menjelaskan, para pengguna produk itu perlu menyedari bahawa terdapat pelbagai kaedah yang dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkenaan bagi menggalakkan mereka untuk merokok.

“Perokok harus sedar bahawa merokok tembakau adalah sangat merbahaya kepada kesihatan malah boleh menjejaskan kesihatan keluarga dan masyarakat.”

Oleh itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa para perokok harus mengambil langkah berhenti merokok kerana bukan sahaja mereka menyayangi diri mereka sendiri tetapi juga menyayangi keluarga dan menyayangi masyarakat di sekeliling mereka.

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa jumlah perokok mula menurun tetapi usaha atau kerjasama daripada orang ramai amat diperlukan khususnya dalam menghulurkan maklumat mengenai kegiatan penjualan produk tembakau haram.

Beliau berkata rokok-rokok haram berkenaan diseludup masuk dari luar negara dan bantuan daripada agensi-agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam dan Eksais berjaya untuk menahan serta mendakwa penyeludup berkenaan.

“Kami berharap semua kegiatan haram ini dapat dihentikan dengan kerjasama daripada orang ramai. Jika mereka mengetahui berlakunya sebarang kegiatan penyeludupan, mereka boleh membantu dengan memberikan maklumat berkenaan kepada agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Brunei atau Jabatan Kastam dan Eksais supaya mereka dapat mengambil tindakan segera.”

Menyentuh mengenai aplikasi mudah alih STaR yang baru dilancarkan, Yang Berhormat Pehin berkata ia merupakan langkah proaktif dan yang baik bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya tabiat merokok serta memberikan bantuan kepada para perokok untuk berhenti merokok khususnya peluang bagi mereka untuk berinteraksi dengan para pakar kesihatan untuk mendapatkan maklumat tentang bahaya dan tatacara berhenti rokok.

Dalam usaha untuk membantu para perokok berhenti merokok, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan Klinik Berhenti Merokok di semua pusat-pusat kesihatan di Negara Brunei Darussalam termasuk Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong dan Hospital Temburong.

“Diharapkan perokok-perokok pada masa ini akan dapat membuat azam yang kuat untuk berhenti merokok kerana merokok boleh menjejaskan kesihatan dan boleh menyelamatkan nyawa mereka, keluarga dan masyarakat pada umumnya.”

Yang Berhormat Pehin juga menyatakan bahawa perokok-perokok yang berhenti merokok melalui usaha-usaha yang dilaksanakan seperti Klinik Berhenti Merokok adalah sebanyak 24 peratus kadar kejayaan dan beliau menyatakan harapan kadar kejayaan itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa dengan kementeriannya terus memberikan bantuan kepada para perokok yang ingin berhenti merokok.

ARTIKEL YANG SAMA