E-visa tingkat pelancong dari China ke M’sia

E-visa tingkat pelancong dari China ke M’sia

BEIJING, 1 Mac (Bernama) – Program visa Malaysia untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dari China, iaitu visa elektronik (e-visa) serta maklumat dan pendaftaran pelancongan elektronik (ENTRI), dilancarkan secara rasmi di sini, hari ini.

Pelancaran itu dilakukan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Turut hadir Duta Malaysia di China Datuk Zainuddin Yahya.

Bermula hari ini (1 Mac) sehingga 31 Disember, pelancong China boleh memasuki Malaysia tanpa masalah memandangkan mereka boleh memohon visa secara dalam talian dan mencetak sendiri e-visa itu.

Sejak tengah malam tadi sehingga tengah hari ini, Pusat Pemprosesan Permohonan Visa Malaysia di Beijing menerima lebih 100 permohonan.

Mohamed Nazri berkata program visa itu adalah inisiatif utama untuk membantu mencapai matlamat kerajaan dalam memperluaskan dan memajukan industri pelancongan Malaysia serta China, di samping memperkukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“China adalah antara sepuluh sumber pasaran utama bagi Malaysia dan kami amat menghargai pengiktirafan serta sokongan daripada pelancong China. Bagi menzahirkan keikhlasan Malaysia dalam mengalu-alukan pelancong dari China, kami kini mempromosi e-visa untuk merealisasikan matlamat mencapai kedatangan lapan juta pelancong dari China setiap tahun,” katanya.

Mohamed Nazri berkata beliau menerima maklum balas positif daripada ejen pelancongan di China berhubung minat pelancong China terhadap Malaysia berikutan negara ini yang amat rapat dengan budaya mereka.

“Pelancong China juga selesa berkunjung ke Malaysia, tambahan pula komuniti Cina di Malaysia bukan hanya bertutur dalam bahasa Mandarin, tetapi juga pelbagai dialek seperti Kantonis, Hokkien dan Teochew,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan dan agensi di bawahnya menyusun pelbagai program pelancongan untuk terus meningkatkan lagi kedatangan pelancong China sejajar dengan pelaksanaan program e-visa itu.

E-visa adalah bagi pemohon yang tinggal tidak melebihi 30 hari dan perlu membayar yuran pemprosesan 200 yuan (RM128), manakala perkhidmatan ENTRI pula bagi mereka yang melakukan perjalanan singkat tidak melebihi 15 hari dengan bayaran pemprosesan 160 yuan (RM102).

Pemohon boleh mendaftar di www.windowmalaysia.my/evisa, laman web rasmi bagi permohonan e-visa Malaysia.

Sementara itu, penyanyi Shila Amzah, dilantik sebagai Duta Pelancongan Malaysia di China, di tengah-tengah popularitinya dalam kalangan warga China susulan kemunculannya dalam rancangan televisyen tempatan, ‘Asian Wave’.