Earth Hour perlu dikaji semula

Earth Hour perlu dikaji semula

NEGARA kita baru-baru ini telah menyertai acara Earth Hour sejak 2008 bersama dengan 178 buah negara lain di setiap hujung minggu terakhir bulan Mac.

Ramai yang berpendapat penyertaan kita telah banyak menimbulkan kesedaran mengenai penjimatan tenaga dan berusaha untuk menyelamatkan Bumi, planet ketiga dalam Sistem Suria kita. Namun, saya terpaksa katakan kita masih lagi terumbang-ambing dalam merealisasikan objektif sebenar Earth Hour dan hanya menganggap acara ini sebagai hiburan dan bukannya sesuatu yang mengandungi mesej penuh berilmu yang teramat penting.

Kebelakangan ini, acara Earth Hour di Brunei seolah-olah fokus terhadap penjimatan tenaga, namun semua yang ikut serta, termasuk selebriti dan tokoh-tokoh penting negara jauh sekali daripada mengamalkan usaha-usaha untuk menyelamatkan Bumi.

Penggunaan lilin yang kononnya mengganti lampu elektrik bukan sahaja menerbitkan haba malah apinya yang menyala menggunakan gas oksigen, gas yang paling penting untuk meneruskan kehidupan di muka bumi.

Acara sampingan yang berupa sesi berbasikal sekeliling ibu negara yang kononnya mempromosi kesihatan sesungguhnya memaksa para penunggang basikal menggunakan tenaga dan gas oksigen dan menyumbang kepada berkurangannya gas tersebut di malam itu dan bertambahnya carbon footprint, bukan sebaliknya.

Tambahan lagi, sikap sambil lewa para peniaga yang langsung tidak menghormati Earth Hour dengan menutup premis perniagaannya lebih awal bagi menghormati Earth Hour sudah cukup mempamerkan ketidakseriusan masyarakat bukan saja di Bandar Seri Begawan malah seluruh negara kepada betapa kucar-kacirnya objektif sebenar Earth Hour ini diadakan.

Pengasas di sebalik acara ini harus buat post-mortem mengenai cara yang jauh lebih baik bagi melaksanakan Earth Hour dan menimbulkan kesedaran sebenar mengenai Earth Hour. Contohnya mengadakannya di sebelah siang dan menjadi pelopor dan pemimpin Earth Hour di rantau sebelah sini. Jangan hanya menganggap Earth Hour ini sebagai satu cara untuk berasa segera berpuas hati (a feel-good event) tanpa mempelajari dan menyedari apa-apa manfaat daripadanya. Renungkanlah. UGAN BRUNEI, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA