EAS penyumbang kepada keamanan dan kestabilan Asia Tenggara

EAS penyumbang kepada keamanan dan kestabilan Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Penerimaan yang semakin meningkat terhadap peranan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) sebagai forum serantau terulung untuk memupuk kerjasama dalam pelbagai isu berkepentingan strategik telahpun menyumbang kepada keamanan serta kestabilan berterusan di Asia Tenggara.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata sehubungan itu, anggota EAS turut berikrar untuk terus memperkukuhkan forum itu dengan hasrat mempertingkatkan lagi keberkesanannya, sambil menggalakkan kerjasama lebih rapat dalam bidang ekonomi serta sosial.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Luar EAS ke-5 yang diadakan di sini pada hari terakhir Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang berlangsung enam hari.

Anifah turut menarik perhatian terdapat sokongan meluas daripada negara anggota untuk ASEAN memberi keutamaan kepada pelbagai mekanisme serantau, termasuk EAS.

EAS adalah forum pemimpin serantau bagi mengadakan dialog dan kerjasama strategik berhubung cabaran utama yang mendepani rantau Asia Timur.

Keanggotaan EAS terdiri daripada 10 negara ASEAN (Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam); Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Rusia.

Lapan belas negara anggota EAS mewakili secara kolektif 55 peratus daripada penduduk dunia dan membentuk kira-kira 56 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.

Pada Selasa lepas, Anifah berkata EAS adalah satu lagi mekanisme utama dalam menggalakkan kerjasama dalam kalangan ASEAN dan rakannya.

“EAS menghimpunkan kuasa-kuasa besar dalam platform yang sama. Ia adalah instrumen yang tepat bagi diplomasi dalam masa yang sukar,” katanya pada perasmian AMM ke-48. – Bernama