Easyway juara Speedsend 2016

Easyway juara Speedsend 2016

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Khairil Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Easyway dinobatkan sebagai juara bagi Kejohanan Bola Keranjang Speedsend bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun.

Dalam perlawanan sengit di Dewan Bola Keranjang Batu Bersurat itu, Pasukan Easyway yang merupakan juara dalam Kumpulan B kejohanan tersebut mendapat tentangan hebat daripada Pasukan D’ Sunlit yang menjuarai Kumpulan A yang akhirnya berkesudahan dengan jaringan 89-72.

Kedua-dua finalis mempamerkan perlawanan akhir yang hebat setelah mengekalkan rekod tanpa kalah dalam peringkat kumpulan dan separuh akhir untuk bertemu di peringkat penentuan hari ini.

Perlawanan tersebut dikuasai oleh Easyway apabila meraih mata 24-18 pada suku pertama, 30-19 pada suku kedua dan 21-15 pada suku ketiga, sekali gus menjulang Piala Speedsend 2016, meskipun pada awalnya ketinggalan 21-14 pada suku keempat.

Gambar ramai Pasukan Easyway yang dinobatkan sebagai juara bagi Kejohanan Bola Keranjang Speedsend 2016.
Gambar ramai Pasukan Easyway yang dinobatkan sebagai juara bagi Kejohanan Bola Keranjang Speedsend 2016.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada barisan pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar, yang juga turut menyaksikan perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga kejohanan yang jatuh kepada Pasukan Juramas.

Turut menyampaikan hadiah ialah Pengarah Bersekutu, Global Retail Payment, CIMB, Tengku Adeline.

Juramas tampil di tempat ketiga selepas berjaya menumpaskan Pasukan Street Rol dengan jaringan 104-82. Kedua pasukan tersebut sebelum ini tewas kepada pasukan finalis pada peringkat separuh akhir yang diadakan semalam.

Pasukan Juramas tewas di tangan naib juara Piala Speedsend kali ini iaitu Pasukan D’ Sunlit pada masa tambahan dengan mata akhir 108-102, manakala Pasukan Easyway pula menumpaskan Pasukan Speed Rol dengan jaringan 65-94.

ARTIKEL YANG SAMA