Ebola ditemui dalam mata doktor

Ebola ditemui dalam mata doktor

WASHINGTON, 8 Mei (AFP) – Virus Ebola telah dikesan buat pertama kalinya dalam mata seorang pesakit selepas berbulan ia lenyap daripada darahnya, menurut penyelidik semalam.

Dr. Ian Crozier, seorang doktor Amerika, telah didiagnosis menghidap Ebola pada September 2014 semasa bertugas di Sierra Leone bersama Persatuan Kesihatan Sedunia.

Beliau telah dihantar balik ke Amerika Syarikat ke unit khas Ebola, Hospital Universiti Emory di Atlanta, Georgia.

Crozier keluar hospital pada Oktober apabila Ebola tidak lagi dikesan dalam darahnya, lapor Jurnal Medicine New England semalam.

Namun dua bulan kemudian dia mula mendapat keradangan dan tekanan darah tinggi di mata kirinya. Ia mengakibatkan bengkak dan masalah penglihatan yang serius.

Dia kembali ke hospital yang sama tempat dia dirawat, dan pakar oftalmologi, Dr Steven Yeh, telah mengeluarkan cecair dan mengujinya bagi Ebola. Dan hasilnya ia telah mengandungi virus, namun ia tidak terdapat pada air matanya atau pada tisu di sekitar matanya.

Doktor percaya dia tidak akan memberi ancaman risiko jangkitan kepada orang lain, namun Yeh mengatakan kes itu menunjukkan mangsa bagi virus maut itu seharusnya dipantau bagi kemungkinan jangkitan mata. Ia tidak diketahui berapa lama keadaan itu akan berakhir.

Selain masalah penglihatan, irisnya bertukar warna, daripada warna biru kepada hijau dalam masa 10 hari selepas simptom itu pertama kali dikesan.

Selepas menjalani rawatan dengan memakan pelbagai ubat, penglihatan Crozier mulai pulih, warna matanya juga kembali normal namun belum sepenuhnya pulih.

Letusan terburuk Ebola bermula di selatan Guinea pada Disember 2013 sebelum merebak ke Liberia dan Sierra Leone.

Jumlah kematian terkini melebihi 11,000 orang, lapor Persatuan Kesihatan Sedunia minggu ini.