Ebola kembali ke Liberia

Ebola kembali ke Liberia

MONROVIA, 10 Julai (AFP) – Virus Ebola yang sebelum ini meragut ribuan nyawa kini kembali ke Afrika Barat apabila dua individu disahkan dijangkiti virus itu di Liberia.

Wabak itu mula dikesan apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun meninggal dunia akibat demam tropika itu selepas menyebarkannya kepada dua lagi mangsa.

Liberia mengumumkan perkara itu pada 30 Jun lalu.

Tiga jangkitan itu adalah kes pertama Ebola di Liberia sejak tiga bulan lalu.

“Terkini, ada dua kes baharu di Liberia, menjadikan keseluruhan jangkitan Ebola meningkat kepada lima kes,” menurut Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, kedua-dua pesakit itu yang dirawat di Monrovia berasal dari kampung sama di daerah Margibi di mana wabak terbaharu Ebola dikesan.

Seorang lelaki melintasi dinding yang dilukis dengan maklumat tanda-tanda Ebola di Liberia. – Reuters
Seorang lelaki melintasi dinding yang dilukis dengan maklumat tanda-tanda Ebola di Liberia. – Reuters

“Mereka berhubungan dengan seramai 149 orang yang kebanyakkannya berada di Margibi selain 17 lagi di daerah jirannya, Montserrado,” tambah kementerian itu.

Daerah Montserrado merangkumi bandar raya Monrovia yang dihuni sekitar satu juta penduduk.

Ebola membunuh lebih 4,800 penduduk Liberia sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan negara itu bebas wabak tersebut pada 9 Mei lalu.

Virus Ebola tersebar melalui cecair badan pesakit Ebola dengan pesakit menunjukkan simptom seperti muntah, cirit birit diikuti pendarahan luaran dan dalaman yang membawa maut.