ECA ‘kabur’ hasrat Platini terajui FIFA

ECA ‘kabur’ hasrat Platini terajui FIFA

GENEVA, 9 Sept – Kelab Eropah tidak tahu menahu dan masih kabur mengenai kempen presiden UEFA Michel Platini untuk jawatan presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), menurut ketua persatuan mereka semalam.

Karl-Heinz Rummenigge, pengerusi Persatuan Kelab Eropah (ECA) dan seorang rakan warga Perancis itu, berkata anggotanya mempunyai “rasa hormat” terhadap Platini dan yakin dia akan menjadi presiden FIFA yang baik, tetapi masih menunggu butiran lanjut mengenai bidaannya. Platini mengumumkan pada Julai dia akan bertanding sebagai calon untuk mengganti presiden bersara Sepp Blatter tetapi dia hanya mengadakan satu persidangan media sejak itu, apabila dia bercakap mengenai isu UEFA.

“Kami amat menghormatinya tetapi kami tidak tahu programnya disebabkan apabila dia mengadakan persidangan akhbar terakhirnya, dia tidak bercakap mengenai FIFA, namun kami sabar mengenainya,” beritahu Rummenigge kepada wartawan.

“Kami yakin jika dia menjadi presiden, maka dia akan menjadi presiden yang baik,” tambah Rummenigge.

“Saya boleh berkata kami mempunyai pengalaman yang baik sebelum ini dengan UEFA dan terutamanya dengan Platini sebagai presiden UEFA.”

Michel Platini. – Reuters
Michel Platini. – Reuters

Bekas pemain antarabangsa Jerman Barat, Rummenigge berkata mengenai bekas pemain antarabangsa Perancis: “Sebelum ini, sebagai pemain bola sepak profesional, kami adalah penentang tetapi sekarang, di luar padang, kami boleh memanggil diri kami kawan.”

Jawatankuasa eksekutif UEFA akan bertemu sekali lagi di Malta pada 17-18 September. Bagaimanapun, Platini tidak dijadual untuk bercakap di khalayak ramai. UEFA berkata semalam setiausaha agung Gianni Infantino akan mengadakan persidangan akhbar selepas mesyuarat.

Sumber yang rapat dengan Platini, yang telah menjadi presiden UEFA sejak 2007 dan dipilih semula untuk penggal ketiga pada tahun ini, telah berkata dia akan menyiar manifestonya pada Oktober. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA