ECER tarik pelaburan RM7 bilion ke Kelantan

ECER tarik pelaburan RM7 bilion ke Kelantan

KOTA BAHARU, 29 Feb (Bernama) – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan sebanyak RM7 bilion ke Kelantan sejak 2007.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata jumlah pelaburan berkenaan adalah 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM12.4 bilion sejak ECERDC mula beroperasi hampir 10 tahun lepas di negeri ini.

“Daripada jumlah RM7 bilion itu pula, sebanyak RM5.4 bilion telah digunakan bagi pembangunan Loji Rawatan Air Kelar untuk keperluan perusahaan-perusahaan yang terdapat di Taman Industri Halal Pasir Mas serta untuk kegunaan domestik.

“Selain itu, jumlah itu turut merangkumi sektor pembuatan, logistik, pelancongan dan hartanah dan dijangka turut mencipta lebih 13,000 peluang pekerjaan di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC-ECER) Negeri Kelantan 2016 di sini, Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Pembangunan Modal Insan ECERDC Zulkifli Yakob dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat MH Mohd Industries Sdn Bhd Muhammad Yusoff.

ARTIKEL YANG SAMA