Ecuador benarkan temu bual Assange di London

Ecuador benarkan temu bual Assange di London

QUITO, 11 Ogos – Ecuador berkata semalam ia akan membenarkan pegawai Sweden menemu ramah Julian Assange di kedutaannya di London, di mana pengasas WikiLeaks itu berlindung sejak Jun 2012.

Dalam satu kenyataan, kementerian luar berkata sepucuk surat telah dihantar oleh kerajaan Ecuador untuk mengadakan satu mesyuarat dengan pegawai Sweden di kedutaan Quito di London.

Mesyuarat dijangka diadakan “pada minggu-minggu akan datang,” kata kenyataan itu. Pendakwa di Sweden mahu menemu ramah Assange berhubung dengan dakwaan rogol ke atasnya pada 2010.

Warga Australia berusia 45 tahun itu mendapatkan perlindungan di kedutaan Ecuador di London pada Jun 2012 selepas kehabisan kesemua opsyen undang-undang di Britain untuk dihantar pulang ke Sweden.

Assange bimbang jika beliau dihantar ke Sweden untuk menghadapi perbicaraan, beliau mungkin dihantar pulang ke Amerika Syarikat untuk dibicarakan mengenai penerbitan beratus ribu dokumen sulit oleh WikiLeaks dan menghadapi hukuman penjara yang lama atau hukuman mati.

Assange semalam merayu terhadap satu keputusan mahkamah Daerah Stockholm untuk mengekalkan satu waran tangkapan Eropah ke atasnya berhubung tuduhan rogol.

“Kami telah merayu keputusan untuk membiarkannya ditahan tanpa kehadiran,” beritahu peguamnya Tomas Olsson kepada AFP.

Peguam Assange telah berkata itulah sebabnya beliau enggan berkunjung ke Sweden untuk disoal oleh pendakwa.

Satu Kumpulan Kerja PBB mengenai Penahanan Sewenang-Wenang pada 5 Februari memutuskan dalam satu keputusan tidak terikat bahawa penahanan Assange di kedutaan Ecuador adalah bersamaan dengan penahanan sewenang-wenang oleh Sweden dan Britain. Britain dan Sweden telah mempertikaikan hasil dapatan kumpulan PBB. – AFP