Ecuador buat bayaran AS$1 bilion

Ecuador buat bayaran AS$1 bilion

QUITO, 10 Jan (AFP) – Ecuador akan membuat bayaran berjumlah AS$1 bilion kepada syarikat minyak Amerika Occidental Petroleum pada April, sejajar dengan satu keputusan daripada panel penimbang tara Bank Dunia, kata Presiden Rafael Correa semalam.

Pusat Antarabangsa untuk Penyelesaian Perbalahan Pelaburan (ICSID) pada mulanya mengarah Ecuador supaya membayar syarikat, dikenali sebagai Oxy, AS$1.77 bilion serta faedah dalam keputusan pada tahun 2012.

Correa dalam taklimat media mingguan berkata kerajaannya berjaya berunding untuk mengurangkan jumlah wang berkenaan, pertama kepada $1.4 bilion, seterusnya lebih rendah lagi. “Anugerah berjumlah AS$1.4 bilion. Kami akan membayar kira-kira AS$980 juta. Pengurangan adalah AS$420 juta,” kata beliau.

Occidental, juga dikenali sebagai Oxy, berkata Ecuador mencabul satu perjanjian pelaburan dua hala dengan Amerika Syarikat. Correa pada mulanya berusaha mendapatkan keputusan dibatalkan, berkata kerajaan mempunyai hak untuk membatalkan kontrak disebabkan Oxy menjual 40 peratus saham dalam syarikat itu kepada firma Kanada Encana pada 2000 tanpa kebenarannya.

Correa berkata dalam ucapannya di radio bahawa ‘secara jujur’ Ecuador membuat bayaran awal berjumlah AS$100 juta dolar pada bulan lalu, dan menetap jadual bayaran untuk menamatkan bayaran baki pada April. “Kami menandatangani satu perjanjian dengan Oxy semalam dan kami telah menyelesai masalah dalam cara yang baik,” kata beliau.

Syarikat minyak itu menyaman Ecuador sebanyak AS$3.37 bilion pada Mei 2006, hari selepas negara Amerika Selatan mengumumkan pembatalan satu kontrak yang memberinya hak untuk mengeluarkan 100,000 tong minyak sehari dari lembangan Amazon, kira-kira 20 peratus daripada keluaran Ecuador.

Bayaran sebanyak satu billion dolar itu menambah masalah belanjawan yang menghadapi Ecuador, anggota paling kecil kartel minyak OPEC, di tengah kemerosotan minyak mentah dan penurunan nilai mata wang.

ARTIKEL YANG SAMA