ECXO JAPTIM lawat IBTE

ECXO JAPTIM lawat IBTE

Oleh Hjh Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 20 Nov – Seramai 16 orang perwakilan daripada Majlis-majlis Eksekutif (EXCO) Jawatankuasa Pengetua-pengetua dan Timbalan-timbalan Pengetua Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Kerajaan Negara Brunei Darussalam (JAPTIM) serta Timbalan Pengetua Kluster 5 dan 6 telah membuat lawatan kerja ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) di sini, kelmarin.

Timbalan Pengetua Pentadbiran yang mengendalikan lawatan tersebut, Haji Mohd Fadhillah bin Haji Ismail memberitahu, lawatan berkenaan antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta pemahaman tentang peluang-peluang kursus yang ditawarkan di IBTE JBC.

Menurutnya lagi, dengan adanya lawatan tersebut, ia akan dapat mengongsikan pengalaman dengan pelajar-pelajar mereka supaya dapat memilih dengan bijak kerjaya masa depan mereka melalui kursus-kursus yang ditawarkan di kampus tersebut.

Lawatan tersebut dimulakan dengan mendengarkan taklimat ringkas mengenai program-program yang ditawarkan di IBTE dan ucapan alu-aluan oleh Pengetua IBTE Satelit, Awang Norjemee bin Jenek.

Gambar ramai bersama rombongan pelawat daripada EXCO JAPTIM, Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Gambar ramai bersama rombongan pelawat daripada EXCO JAPTIM, Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Lawatan tersebut juga diisikan dengan sesi perkongsian tentang IBTE Satelit yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Kampus, Dayang Sazrina Mazri, diikuti dengan sesi soal jawab sebelum mengadakan lawatan ke beberapa bahagian kampus tersebut.

Antara yang menjadi tumpuan dalam sesi lawatan kerja itu ialah Bengkel/Makmal BMA, Bahagian Makmal Mechatronic dan Instrumentation, Bengkel Perkhidmatan Bangunan, Bahagian Teknologi Komunikasi dan Informasi Sekolah serta Bengkel Mekanikal dan Manufacturing.

Lawatan seumpamanya diadakan adalah merupakan satu pendedahan yang berbeza dengan persekitaran pembelajaran mereka selain ianya akan dapat mewujudkan hubungan baik dengan IBTE.

ARTIKEL YANG SAMA