Edinson Cavani ketuai misi Uruguay

Edinson Cavani ketuai misi Uruguay

Edinson CavaniSANTIAGO, 10 Jun (Reuters) – Juara bertahan Uruguay hadir ke Chile untuk kejohanan Copa America dengan kesedaran penuh bahawa bukan mudah untuk mempertahankan rekod gelaran ke-15 yang mereka menangi di Argentina pada 2011.

La Celeste akan bersaing tanpa penyerang Luis Suarez yang digantung permainan dan sedang dalam proses membina semula pasukan, sementara Argentina, pencabar utama mereka dalam Kumpulan B, memiliki skuad yang lebih berkemampuan.

“Ini ialah permainan berpasukan dan keserasian antara pemain-pemain memerlukan masa untuk dibentuk,” kata jurulatih Oscar Tabarez kepada Reuters dalam temubual baru-baru ini.

Tabarez telah memperkenalkan beberapa pemain muda, paling dikenali ialah penyerang Diego Rolan dari kelab Girondins Bordeaux, ke dalam skuad yang menduduki tempat keempat dalam Piala Dunia 2010 dan ke pusingan kedua di Brazil tahun lalu.

Dia juga terpaksa mencari pengganti pertahanan Juventus, Martin Caceres yang masih belum pulih daripada pembedahan buku lali selain ketua pasukan semasa Piala Dunia, Diego Lugano yang baru kembali ke pangkuan skuad Sweden, BK Haecken setelah pulih daripada kecederaan.

Harapan Uruguay di barisan hadapan akan banyak bergantung kepada penyerang Paris St. Germain, Edinson Cavani yang kehilangan kedua-dua gandingannya semasa Piala Dunia termasuk Diego Forlan yang bersara.

Suarez masih menjalani hukuman gantung permainan yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana menggigit Giorgio Chiellini sewaktu Uruguay menang 1-0 ke atas Itali dalam perlawanan peringkat kumpulan di Brazil yang turut menyebabkan dia tidak dapat bermain dalam beberapa perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018.

Sayap kanan kelab River Plate di Argentina, Carlos Sanchez, menunjukkan prestasi bagus musim ini tetapi sudah terlalu lewat kerana dia sudah berusia 30 untuk mendapat tiga cap sejak kali pertama bersama skuad kebangsaannya pada November lalu. Dia adalah pilihan utama untuk berpasangan dengan Cavani di bahagian serangan.

Uruguay akan memulakan kempen dalam Kumpulan B menentang pasukan jemputan Jamaica di Antofagasta pada 13 Jun. Mereka kemudian bertemu Argentina pada 16 Jun dan Paraguay empat hari kemudian.

ARTIKEL YANG SAMA