Edisi kedua Festival Tagang Semadang pada 1 Okt

Edisi kedua Festival Tagang Semadang pada 1 Okt

KUCHING, 4 Ogos – Edisi kedua Festival Memancing@Tagang Sungai Semadang akan diadakan pada 1 Oktober, dan satu daripada aktiviti baharu pada tahun ini adalah pertandingan Ratu Cantik Tagang Semadang.

Acara menangkap ikan menggunakan cara tradisional itu telah disenaraikan dalam kalendar Kementerian Pelancongan negeri bermula tahun ini, dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Perikanan negeri, Jawatankuasa Sistem Tagang Kampung Semadang, Belia Kampung Semadang dan diuruskan Ma’asa Event Management.

Pengerusi penganjur festival itu yang juga penghulu Kampung Semadang, Samson Mangang berkata penyertaan kini dibuka bagi pertandingan itu yang akan diadakan di kawasan ‘tagang’ (kawasan dikhaskan untuk menangkap ikan) sepanjang Sungai Sarawak Kiri (dikenali sebagai Sungai Semadang) di Kampung Semadang dekat Jalan Puncak Borneo, kira-kira 40km dari sini.

“Tahun lepas lebih 100 pemancing mengambil bahagian dalam pertandingan memancing itu dan lebih banyak penyertaan dijangka pada tahun ini,” katanya.

Katanya pertandingan memancing itu akan menjadi acara kemuncak festival yang akan turut dimeriahkan dengan program hiburan, pertandingan Ratu Cantik Tagang Semadang, pertandingan memasak, pameran sistem tagang dan bazar makanan.

Samson berkata pertandingan memancing itu dibuka kepada penduduk tempatan dan warga asing.

Mengenai Ratu Cantik Tagang, katanya pertandingan itu dibuka kepada wanita berumur antara 18 hingga 30 tahun dan akan diadakan pada petang 1 Oktober.

Maklumat lanjut serta borang penyertaan boleh didapati di Eastern Mall Siburan atau Pejabat Wakil Rakyat Mambong atau menghubungi pengarah festival Robert Kenneth di talian 013-2036553, atau Krisnam Sabod (016-3043284). – Bernama