Edisi kedua KLIHF bermula hari ini

Edisi kedua KLIHF bermula hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Susulan kejayaan acara sulung pameran perdagangan fesyen Muslimah bertaraf antarabangsa, Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) di Kuala Lumpur pada tahun lepas, edisi kedua KLIHF melebarkan sayapnya ke negara ini.

Berkonsepkan ‘Perniagaan kepada Perniagaan’ dan ‘Perniagaan kepada Pengguna’, KLIHF 2015 akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas selama tiga hari mulai esok.

Ia turut diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur selama empat hari mulai 28 Mei. Menurut syarikat penganjur, Woj Wealth Sdn Bhd (WOJ) dalam kenyataan disini, edisi kedua KLIHF disusun khusus untuk mengetengahkan konsep dan atur cara yang berbeza daripada sebelumnya, selain lebih mengujakan untuk meningkatkan prestasi pameran bertaraf antarabangsa itu.

Katanya, selain menghimpunkan fesyen dan jenama antarabangsa dari negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Turki, Pakistan, Korea dan Jepun, KLIHF turut menyajikan pelbagai acara pentas dan aktiviti seperti forum perniagaan, pertunjukan fesyen dan sesi perkongsian pengalaman.

Edisi kali ini juga menampilkan pendakwah terkenal, Ustaz Don Danial sertaselebriti dan artis, antaranya Mizz Nina, Altimet dan Rozita Che Wan, yang dipilih menjadi ‘Wajah KLIHF’ untuk mempromosi dan menjayakan pelbagai program yang dirancang pada sepanjang hari pameran itu.

Mizz Nina bersama rakan-rakan selebriti lain dijangka menganjurkan Program Lelongan Amal, yang hasilnya akan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan, Viva Palestine Malaysia.

“KLIHF pada tahun lepas berjaya menarik 120,000 pengunjung berdaftar dan mencatat jualan secara terkumpul oleh 250 peserta pameran sebanyak RM5.3 juta pada sepanjang tiga hari acara itu berlangsung,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA