EDP labuh tirai

EDP labuh tirai

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Program Perkembangan Eksekutif (EDP) mengenai Dasar Awam dan Pengurusan bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan siri ke-13 bagi tahun 2016 anjuran Kementerian Pertahanan berakhir hari ini dengan majlis penutup yang diadakan di Mes Pegawai, Bolkiah Garison.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Beliau dalam ucapannya pada majlis tersebut menggariskan mengenai kepentingan bagi penggubal dasar untuk menggunakan pendekatan yang sistematik dalam merancang dan membuat keputusan terhadap pembangunan jangka panjang dan kemapanan setiap organisasi Negara.

Beliau juga menekankan mengenai kepentingan untuk menginstitusikan keupayaan organisasi dalam menjalankan pembelajaran berterusan melalui ​​muhasabah diri serta penilaian yang jujur bagi keberkesanan memenuhi tuntutan perubahan persekitaran yang pesat dan semakin mencabar.

Turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut ialah Ketua Fakulti Lee Kuan Yew School of Public Policy (LKY School), National University of Singapore, Profesor Dodo J. Thampapillai, diikuti dengan sesi perkongsian oleh wakil daripada peserta EDP 13, Leftenan Kolonel (U) Harmadi bin Haji Mamit mengenai pengalaman mereka sepanjang program tersebut dijalankan.

Tetamu kehormat ketika menyampaikan ucapan penutup program berkenaan.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan ucapan penutup program berkenaan.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta EDP berkenaan.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta EDP berkenaan.

Pada tahun ini, seramai 30 peserta menyertai EDP yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB); Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB); Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri; Sekretariat Tetap Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; Kementerian Pendidikan; dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam.

Di samping itu, pegawai-pegawai kanan tentera dari China, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam juga mengambil bahagian dalam program tersebut.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama LKY School, National University of Singapore itu telah diadakan selama tiga bulan meliputi pelbagai kaedah analisis dasar termasuk horizon scanning, scenario planning, cost-benefit analysis, multi criteria analysis, beberapa kajian kes serta pendekatan utama dalam bidang pengurusan dan kepimpinan.

Program tersebut bertujuan bagi melengkapkan pegawai-pegawai kanan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan agar menjadi lebih inovatif dalam memahami proses dan cabaran penggubalan dasar.

Semasa program tersebut, para peserta juga telah mengadakan lawatan ke beberapa agensi kerajaan di Negara Brunei Darussalam untuk lebih memahami proses penggubalan dasar dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di negara ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pesuruhjaya PDB, para perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap, pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap, penasihat-penasihat dan atase-atase Pertahanan serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan, ABDB, kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA