Eduardo Li dibicarakan 23 Februari

Eduardo Li dibicarakan 23 Februari

NEW YORK, 11 Feb – Mahkamah Amerika Syarikat (AS) menolak untuk melepaskan suspek skandal rasuah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan menyifatkan jaminan AS$5 juta dengan seorang penjamin tidak mencukupi.

Hakim Robert Levy kemudian menetapkan tarikh 23 Februari ini untuk perbicaraan semula ke atas Eduardo Li yang dituduh terbabit dalam kes rasuah FIFA. Ketika ditahan, Li adalah bekas Presiden Persekutuan Bola Sepak Costa Rica.

Pada perbicaraan awal itu, sejumlah AS$300,000 daripada jumlah nilai jaminan perlu dibayar secara tunai namun cadangan untuk membebaskan Li ditolak Levy.

Pendakwa raya tidak bersetuju dengan cadangan itu sebaliknya membuat tawaran AS$10 juta hingga AS$15 juta dengan AS$5 juta hingga AS$7 juta perlu dibayar secara tunai manakala selebihnya berbentuk aset di AS.

Namun pada pendengaran selepas ini, Li akan dibenarkan untuk membuat rayuan baharu.

Eduardo Li akan dibicarakan semula pada 23 Februari ini berkaitan kes rasuah FIFA. – Reuters
Eduardo Li akan dibicarakan semula pada 23 Februari ini berkaitan kes rasuah FIFA. – Reuters

Terdahulu, isu skandal yang menyelubungi badan induk bola sepak dunia, FIFA banyak memberi kejutan kepada seluruh komuniti bola sepak dunia dan menyebabkan desakan untuk menangguhkan satu proses pemilihan presiden FIFA. Para penyiasat juga sebelumnya telah mengeledah ibu pejabat FIFA sebagai sebahagian dari siasatan ke atas pemberian hak penganjuran Piala Dunia 2018 kepada Rusia dan Piala Dunia 2022 kepada Qatar.

Dengan FIFA berdepan krisis terbesar dalam satu kurun penubuhannya, penyiasat AS dan Switzerland menjangkakan tekanan lebih besar ke atas badan induk itu dan juga pemimpinnya. – AFP