Ejen disaran patuhi garis pandu JPKE

Ejen disaran patuhi garis pandu JPKE

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Bagi memastikan ejen-ejen penjual kereta mengikut garis pandu harga jualan, rombongan penguat kuasa dari Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), telah mengadakan pemeriksaan ke salah sebuah ejen kereta di Perindustrian Beribi, hari ini.

Pemeriksaan pertama ke syarikat permotoran Premier Automobile Sdn. Bhd. itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah JPKE, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim bersama 13 pegawai dan kakitangan JPKE.

Antara tujuan pemeriksaan itu adalah untuk memastikan ejen-ejen kereta mematuhi peraturan dan garis pandu yang ditetapkan oleh pihak JPKE, selain memastikan kebajikan orang ramai terpelihara begitu juga kebajikan pihak ejen kereta.

Haji Abdul Amin ketika ditemu bual, berkata, “Walaupun pihak JPKE setakat ini belum menerima apa-apa aduan, pihak tersebut akan membuat pemeriksaan ke semua ejen-ejen kereta di negara ini, yang mana pemeriksaan ini adalah juga sebagai aktiviti yang dirancang oleh Bahagian Kawalan Harga, JPKE.”

Salah seorang pegawai JPKE ketika membuat pemeriksaan harga kereta di Bilik Pameran Syarikat Premier Automobile Sdn. Bhd. di Beribi.
Salah seorang pegawai JPKE ketika membuat pemeriksaan harga kereta di Bilik Pameran Syarikat Premier Automobile Sdn. Bhd. di Beribi.
Haji Abdul Amin menyarankan agar ejen penjual kereta mematuhi undang-undang garis pandu kawalan harga.
Haji Abdul Amin menyarankan agar ejen penjual kereta mematuhi undang-undang garis pandu kawalan harga.

“Alhamdulillah, ejen-ejen kereta termasuk Premier Automobile Sdn. Bhd. telah mematuhi harga jualan kereta dan peraturan lain yang ditetapkan dan sijil-sijil jualan kereta masih sah untuk digunakan,” tambah beliau.

Beliau juga memberi saranan supaya ejen penjual kereta menetapkan harga kereta dengan mematuhi undang-undang garis pandu kawalan harga.

Selain itu, JPKE akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan jika mendapati ada yang melanggar peraturan, pihak JPKE akan memberi amaran pertama dan jika tidak dipatuhi juga, pihak penguatkuasaan akan mengenakan denda kompaun $500 ke atas kepada pesalah.

ARTIKEL YANG SAMA