Ejen insurans digesa mantapkan peranan

Ejen insurans digesa mantapkan peranan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Bank Negara Malaysia mahu ejen insurans untuk memantapkan dan memainkan peranan penting mereka dalam menggerakkan manfaat penting insurans kepada ekonomi dan masyarakat, memandangkan teknologi kewangan semakin mendapat tarikan di Malaysia.

Penolong Gabenor Chew Cheng Lian berkata industri insurans baru sahaja memasuki fasa pertama liberalisasi progresif tarif insurans motor dan kebakaran, yang bermula pada 1 Julai, dan ia dijangka membuka laluan bagi lebih banyak inovasi produk.

“Ejen, yang mempunyai akses langsung kepada pengguna dan juga pengetahuan meluas tentang produk dan pertimbangan penaja jaminan penyedia insurans, adalah pihak yang terbaik untuk menjelaskan pilihan insurans yang tersedia kepada pengguna dan memberi cadangan bagaimana untuk memaksimumkan nilai pembelian.

“Mereka perlu membina kapasiti mereka untuk menganalisis keperluan dan profil risiko pengguna dan memadankannya dengan cekap,” katanya dalam ucap tama beliau pada Konvensyen Ejen-Ejen Insurans Am, di sini, Khamis.

Teks ucapan beliau disediakan kepada Bernama oleh Bank Pusat hari ini.

Selain itu, Chew berkata ejen-ejen juga perlu menyediakan nilai yang lebih tinggi dan unik dalam perkhidmatan mereka, dengan cara yang lebih fleksibel, serta memainkan peranan lebih besar dalam pendidikan pengguna.

Beliau berkata bagaimana ejen insurans berinteraksi dengan pelanggan mereka boleh membawa perubahan dalam membantu pelanggan yang tidak cukup bersedia berdepan kehilangan akibat daripada perkara yang tidak dijangkakan.

“Menangani jurang perlindungan ini harus menjadi matlamat utama yang perlu dicita-citakan oleh kita, untuk menggalakkan ekonomi yang berdaya tahan dan kesejahteraan masyarakat kita,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA