Ejen kelahiran Malaysia tarik pelabur hartanah Asia

Ejen kelahiran Malaysia tarik pelabur hartanah Asia

MELBOURNE, 24 Sept (Bernama) – Agensi hartanah, Knight Frank, menugaskan Dominic Ong, untuk memanfaatkan permintaan pelaburan hartanah komersial Australia yang semakin berkembang dari Asia, terutama China.

Ong, anak kelahiran Malaysia, terlibat dalam jualan komersial bernilai A$1 bilion (A$1=RM3.10) setahun lepas, dengan ramai pembeli pelaburan dan tapak pembangunan membabitkan individu kaya.

“Saya dapat bayangkan bahawa apabila kita memiliki hartanah, katakan rumah bernilai A$10 juta, dan apabila dimasukkan dalam data semasa beberapa ribu pelabur China yang kaya, ia mendapat sambutan yang baik,” kata Ong kepada akhbar The Australian.

Ong berkata ramai pelabur kaya ini juga mencari rumah sendiri di Australia, menjadikan jualan susulan sebagai logik.

“Masanya juga sesuai kerana kita semua mengetahui bahawa semua pelaburan keluar dari China adalah hasil daripada galakan kerajaan China. Perubahan dasar dibuat pada pertengahan 2012 dan sejak itu pelaburan keluar meningkat mendadak,” kata Ong.

Beliau berkata ramai ejen terdiri daripada mereka yang berlatarbelakangkan Asia, yang memberikan mereka idea yang baik mengenai budaya dan etika perniagaan.

Ong belajar bidang kewangan di University of Mississippi Amerika Syarikat selama empat tahun.

Beliau pulang ke Malaysia pada 1992 dan bekerja dengan syarikat pembrokeran sekuriti selama sedekad, dan berurus niaga di Bursa Malaysia.

Ong kemudiannya berpindah ke New Zealand, dan memulakan perniagaan hartanah bersama kumpulan tempatan, Bayleys, diikuti CBRE dari 2008.

Beliau kemudian beralih ke Sydney bersama CBRE pada 2011, sebelum dilantik sebagai ketua bahagian Asia Knight Frank.

ARTIKEL YANG SAMA