Ejen perdagangan barter akur

Ejen perdagangan barter akur

SANDAKAN, 7 April (Bernama) – Seorang ejen barangan perdagangan barter di daerah ini akur dengan keputusan kerajaan negeri Sabah semalam menggantung dan menghentikan serta merta aktiviti perdagangan itu di semua pelabuhan di negeri ini.

Pada masa sama, ejen terbabit Muhammad Sham Konel, 40, mahu keputusan menggantung aktiviti perdagangan barter akan membolehkan kerajaan negeri dan persekutuan sama-sama berganding bahu untuk memperbaiki serta mengukuhkan sistem pertahanan serta keselamatan khususnya di perairan timur negeri ini.

“Biarpun punca pendapatan hilang dari aktiviti perdagangan barter, saya akur dengan keputusan kerajaan negeri itu yang menunjukkan kerajaan memandang berat kes terbaharu perculikan empat rakyat Malaysia pada Jumaat lepas yang berlaku berhampiran Pulau Ligitan, Semporna.

Keputusan diambil kerajaan negeri itu sebagai langkah untuk memastikan masalah tersebut dapat ditangani dan kejadian penculikan rakyat negara kita tidak berulang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri mengumumkan semua aktiviti perniagaan barter di semua pelabuhan di negeri ini digantung dan ditangguh serta merta.

Muhammad Sham yang menjadi ejen perdagangan barter sejak empat tahun lepas berkata beliau bersama ejen perdagangan barter lain di daerah ini akan menunggu keputusan lanjut oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata mereka berharap aktiviti perdagangan barter akan disambung semula dengan prosedur ketat menerusi kajian terperinci.

Perdagangan sistem barter yang wujud sejak 1970-an, pada awalnya melibatkan perniagaan secara bertukar barang dengan peniaga dari selatan Filipina tetapi sekarang cara perniagaan berubah mengikut perkembangan semasa iaitu melalui pengeksportan barang keperluan dari negara ini ke pulau di perairan selatan Filipina antaranya di Pulau Jolo, Tawi-Tawi dan Pulau Bongao.

ARTIKEL YANG SAMA