Ejen wanita j...

Ejen wanita jadi ‘senjata’ pembunuh rejim Pyongyang

SEOUL, 16 Feb – Pembunuh upahan wanita Korea Utara yang memiliki paras menawan dan dilengkapi alatan beracun, kini menjadi senjata pilihan rejim mengintip lawan, kata seorang pembelot berprofil tinggi kepada AFP hari ini, susulan insiden terbaharu minggu ini.

Pembelot Korea Utara dan pengkritik terkenal Pyongyang, An Chan-Il, berkata ejen lelaki bersenjatakan senapang atau pisau dipinggirkan berbanding wanita.

“Kami sentiasa berhati-hati terhadap wanita muda yang mendekati kami, bimbang dibunuh kerana balas dendam,” katanya.

Ulasannya dibuat beberapa hari selepas abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un, Kim Jong-nam maut dipercayai dibunuh pembunuh upahan yang didakwa Korea Selatan dilakukan oleh ejen Pyongyang.

Ketua perisikan Korea Selatan percaya, Jong-nam disembur racun pada wajahnya ketika menunggu di sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kuala Lumpur. Setakat ini, dua wanita ditahan pihak berkuasa Malaysia susulan pembunuhan itu.

Chan-Il, seorang bekas komando Korea Utara yang belot ke Korea Selatan pada tahun 1979 dan kini penyelidik utama hal ehwal dalaman Pyongyang dan pengkritik tegar negara komunis itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA