Ekonomi 2 hala antara agenda

Ekonomi 2 hala antara agenda

JAKARTA, 31 Julai – Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Indonesia adalah antara agenda yang akan dibincangkan oleh pemimpin kedua-dua negara pada Perundingan Tahunan ke-11 esok (Isnin), kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, hari ini.

Ia adalah Perundingan Tahunan pertama membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Joko Widodo sejak beliau menyandang tugas sebagai pemimpin Indonesia pada 2014.

Malaysia dan Indonesia telah menetapkan sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion yang perlu dicapai menjelang 2014, namun ia tidak dapat diraih berikutan senario ekonomi yang kurang menggalakkan.

“Memandangkan kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengangkat perdagangan ke tahap yang lebih tinggi, maka adalah wajar bagi (agenda) kerjasama ekonomi ini turut dibincangkan,” katanya.

Zahrain berkata demikian kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja Perdana Menteri ke negara jiran itu selama tiga hari, bermula esok.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menjawab soalan media ketika sesi temu bual sempena lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12, kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menjawab soalan media ketika sesi temu bual sempena lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12, kelmarin. – Bernama

Indonesia adalah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan merupakan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara jiran itu bernilai RM60.16 bilion (AS$15.25 bilion) pada 2015.

Antara isu-isu lain yang akan turut dibincangkan pada Rundingan Tahunan itu adalah aspek persempadanan, tenaga kerja termasuk isu pembantu rumah, masalah jerebu serta kerjasama dalam bidang tenaga.

Perundingan Tahunan ke-11 itu diadakan bagi mencerminkan komitmen padu Malaysia-Indonesia untuk terus merapatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Indonesia yang sedia akrab dan terjalin sejak sekian lama.

Najib yang disertai isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma di Jakarta pada 6:15 petang waktu tempatan.

Selain Perundingan Tahunan ke-11, Najib akan turut menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 pada 2 hingga 4 Ogos ini yang bertemakan “Decentralising Growth, Empowering Future Business” (Desentralisasi Pertumbuhan, Memperkasa Perniagaan Masa Depan) bersama-sama Joko serta pemimpin kerajaan dan negara lain.

Beliau dijadualkan menyampaikan ucapan khas pada majlis perasmian itu serta menghadiri acara Makan Malam Gala pada hari pertama forum berkenaan.

Seramai 2,500 delegasi dan 60 penggiat utama dari lebih 100 negara dijangka menyertai forum itu. – Bernama