Ekonomi 2015 Singapura tumbuh dua peratus

Ekonomi 2015 Singapura tumbuh dua peratus

SINGAPURA, 24 Feb (Bernama) – Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura mengumumkan hari ini yang ekonomi republik itu tumbuh 2.0 peratus pada 2015.

Untuk 2016, MTI mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 1.0 hingga 3.0 peratus.

Dalam satu kenyataan di sini, MTI berkata, sepanjang tahun lepas ekonomi negara itu berkembang 2.0 peratus, lebih rendah berbanding 3.3 peratus pada 2014.

Sektor pengeluaran menyusut 5.2 peratus, berbanding pertumbuhan 2.7 peratus pada 2014.

Semua kelompok pengeluaran, kecuali kelompok kimia menyaksikan penurunan dalam output, katanya.

Pertumbuhan dalam sektor pembinaan menyederhana kepada 2.5 peratus berbanding 3.5 peratus pada 2014, terutama disebabkan volum yang lebih rendah dalam aktiviti perindustrian swasta serta pembinaan perumahan.

Industri menghasilkan perkhidmatan tumbuh 3.4 peratus pada 2015, merosot sedikit daripada 3.6 peratus pada 2014.

Pertumbuhan itu disokong terutama perdagangan borong serta runcit dan sektor kewangan dan insurans, yang berkembang masing-masing 6.1 peratus dan 5.3 peratus, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA