Ekonomi ASEAN dijangka berkembang 4.5%

Ekonomi ASEAN dijangka berkembang 4.5%

VIENTIANE, 4 Ogos – Per-tumbuhan ekonomi di negara ASEAN dijangka jatuh ke paras 4.5 peratus pada 2016 berbanding 4.7 peratus tahun lalu berikutan pertumbuhan perlahan China dan ketidaktentuan berkaitan undi Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), demikian menurut negara anggota ASEAN dalam satu kenyataan.

Menteri Ekonomi yang bermesyuarat di Laos, Pengerusi ASEAN tahun ini, secara bersama berkata, pertumbuhan ekonomi kumpulan 10 negara itu akan pulih ke paras 4.7 peratus tahun depan berikutan penggunaan swasta dan awam yang kukuh dan kemajuan kecekapan dalam infrastruktur.

“Rantau ini terdedah kepada…penyederhanaan berterusan dalam ekonomi China, ketidaktentuan hubungan antara United Kingdom (UK) dan EU selepas Brexit,” menurut kenyataan itu yang menambah ASEAN kekal komited untuk integrasi selanjutnya.

Kira-kira satu perempat daripada jumlah perdagangan ASEAN adalah dalam kalangan negara anggota.

China adalah rakan kongsi luar utama ASEAN, dengan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan, diikuti Jepun, EU dan Amerika Syarikat (AS).

Negara anggota ASEAN juga berhasrat untuk menyelaraskan strategi ekonomi, mengiktiraf kelayakan profesional masing-masing, meningkatkan pelepasan kastam dan peraturan harta intelek dan merapatkan jurang pembangunan antara anggota yang lebih miskin iaitu Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar dan seluruh rantau ini.

Mereka juga bersetuju untuk meningkatkan penyambungan infrastruktur pengangkutan dan komunikasi, memudahkan urus niaga elektronik dengan lebih baik, mengintegrasikan industri untuk menggalakkan penyumberan serantau, dan meningkatkan pembabitan sektor swasta dalam ekonomi.

Integrasi ekonomi ASEAN yang lebih erat dianggap sebagai langkah utama pada masa depan daripada apa yang telah dipertimbangkan sejak zaman permulaan kewujudannya sebagai projek politik bagi hubungan serantau yang aman. – Agensi