Ekonomi Asia dalam ‘prestasi baik’

Ekonomi Asia dalam ‘prestasi baik’

JAKARTA, 2 Sept (AFP) – Ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde hari ini mengisytiharkan ekonomi Asia sedang “mencatat prestasi baik” meskipun keadaan bergolak yang berpunca daripada kemelesetan China dan kebimbangan mengenai pasaran kewangan global.

Komen Lagarde di Indonesia keluar tatkala pasaran kewangan turun naik disebabkan kebimbangan mengenai keadaan ekonomi China kedua terbesar di dunia dan kesannya ke atas ekonomi membangun dan mata wang mereka.

Pasaran saham dunia merosot seterusnya pada minggu ini apabila lebih banyak bukti kemelesetan ekonomi China timbul, sekali gus mencetuskan penjualan dari Tokyo ke New York dan mendorong ramalan pertumbuhan global dikurangkan.

Lagarde, berada di Jakarta untuk lawatan dua hari, berkata krisis baru-baru ini memaparkan “pemerolehan luar biasa” yang dicatat oleh ekonomi Asia tetapi mengingatkan keadaan turun naik seterusnya bakal berlaku.

“Sekarang keadaan akan berlaku sekali lagi, dan kami semua terasa kesan pengimbangan semula China dan bergerak kepada model perniagaan baru,” beritahunya pada persidangan akhbar.

Christine Lagarde ketika berucap di persidangan kewangan di Jakarta kelmarin. – Reuters
Christine Lagarde ketika berucap di persidangan kewangan di Jakarta kelmarin. – Reuters

“Apa yang telah ditunjukkan dalam beberapa minggu lalu adalah kedudukan Asia dalam teras ekonomi global, dan setakat mana gangguan yang berlaku dalam satu pasaran di Asia yang boleh merebak ke seluruh dunia.”

Pertumbuhan yang lebih perlahan dalam ekonomi utama seperti China dan Jepun, harga komoditi yang lebih rendah dan prospek kadar faedah yang lebih tinggi di Amerika Syarikat akan terus membebani pasaran serantau, tambah Lagarde.

Meskipun tekanan luar dan kadar perkembangan yang lebih perlahan di Asia, ketua IMF berkata “seluruh rantau ini, di dunia, sedang mencatat prestasi yang baik,” dan akan terus menjadi sumber utama pertumbuhan global.

Lagarde pada minggu ini menyuarakan pendapatnya kepada ahli ekonomi sektor swasta yang telahpun mengurang anggaran pertumbuhan dunia mereka, mengaku pertumbuhan mungkin lebih lemah daripada 3.3 peratus yang diramalkan oleh IMF dua bulan lalu.

ARTIKEL YANG SAMA