Ekonomi Brunei paling meningkat

Ekonomi Brunei paling meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Negara Brunei Darussalam merupakan salah satu ekonomi yang mencapai peningkatan yang terbaik bersama dengan Costa Rica dan Kenya di dalam siri laporan tahunan ke-13 Doing Business 2016 yang diterbitkan oleh Bank Dunia dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (International Finance Cooperation – IFC).

Laporan perdana yang bertajuk ‘Measuring Regulatory Quality and Efficiency’ mengukur kemudahan menjalankan perniagaan dalam kalangan 189 buah ekonomi yang menyertai kajian tersebut.

Negara Brunei Darussalam kini menduduki tangga ke-84, kenaikan sebanyak 21 anak tangga dari tahun 2015, dengan markah Distance To Frontier sebanyak 62.93 pada tahun ini berbanding dengan 58.02 pada tahun lepas.

Urusetia, Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, penyumbang utama kepada peningkatan tersebut ialah petunjuk Starting A Business, yang telah meningkat sebanyak 105 anak tangga untuk mengukuhkan kedudukan Brunei Darussalam di tangga yang ke-74 berbanding dengan 179 pada tahun lepas.

Peningkatan tersebut adalah hasil daripada pelaksanaan reformasi dan inisiatif semenjak awal tahun ini dengan peniadaan keperluan lesen rampaian dan penambahbaikan kepada proses-proses yang berkaitan dengan memudahkan dan mempercepatkan prosedur memulakan perniagaan di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan itu lagi, lonjakan dalam kedudukan Doing Business pada tahun ini adalah hasil usaha padu dan kerjasama kementerian-kementerian dan agensi kerajaan sepanjang tahun lalu dalam menerajui pembaikan kepada persekitaran perniagaan di Negara Brunei Darussalam melalui reformasi ke atas proses, peraturan dan perundangan yang sistematik.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menerajui usaha ini melalui titah Baginda pada Mac 2014 dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu PENGGERAK juga telah memimpin dan menggerakkan perlaksanaan reformasi Ease of Doing Business di seluruh agensi kerajaan.

Peningkatan kedudukan pada tahun ini menempatkan Brunei Darussalam di tangga ke-4 di antara negara-negara ASEAN selepas Singapura, yang menduduki kedudukan teratas selama lapan tahun berturut-turut; Malaysia (tangga ke-18) dan Thailand (tangga ke-49).

Peningkatan kedudukan yang ketara ini juga menunjukkan bahawa agensi-agensi kerajaan kini giat berusaha dalam mengurangkan jurang dalam kualiti peraturan dan kadar kecepatan perlaksanaan reformasi perundangan berbanding dengan negara-negara lain.

Usaha ini bukan sahaja akan membantu mendorong peningkatan kedudukan negara, tetapi yang lebih penting, ia akan meningkatkan kecekapan fungsi perniagaan dan pasaran serta menyumbang kepada perlaksanaan strategi yang digariskan ke arah pencapaian Wawasan Brunei Darussalam 2035.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengambil perkara ini secara serius dalam membuat perubahan yang ketara dan komited untuk membuat perubahan yang akan dirasai oleh perniagaan.

Kerajaan juga bermatlamat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi yang mudah dan murah bagi perniagaan agar dapat bersaing di rantau ini dan seterusnya memperbaiki kedudukan negara dalam Doing Business Report yang akan datang.

Ekonomi 10 teratas pada tahun ini adalah Singapura, New Zealand, Denmark, Republik Korea, Hong Kong SAR, United Kingdom, Amerika Syarikat, Sweden, Norway dan Finland.

ARTIKEL YANG SAMA