Ekonomi China berkembang

Ekonomi China berkembang

BEIJING, 15 Julai – Ekonomi China berkembang lebih daripada dijangkakan pada suku kedua tahun, kata Beijing hari ini, sekali gus menyemarakkan harapan bahawa pertumbuhan mungkin menjadi stabil, namun penganalisis mengingatkan pelaburan persendirian adalah amat rendah.

Ekonomi kedua terbesar dunia itu bertumbuh 6.7 peratus tahun ke tahun pada April-Jun, lebih cepat daripada yang diramalkan dalam satu tinjauan AFP dan sama dengan suku pertama tahun.

Keputusan itu sejajar dengan 6.5-7.0 peratus yang disasarkan oleh kerajaan untuk tahun penuh dan akan memberikan sedikit kelegaan tatkala China – penjana utama ekonomi global – mengalami kadar pertumbuhan paling teruknya selama 25 tahun.

“Ekonomi negara telah mencatat kemajuan sederhana tetapi stabil dan mantap,” kata jurucakap Biro Statistik Nasional Sheng Laiyun.

Bagaimanapun, penganalisis berkata kebanyakan perkembangan adalah didorong oleh pelaburan negara dalam infrastruktur dan pertumbuhan kredit, mencada-ngkan ia mungkin sukar untuk dikekalkan dalam jangka panjang.

Pasaran tidak terjejas oleh angka tersebut, dengan indeks komposit Shanghai berakhir dengan jumlah tidak berubah.

“China dijangka mencapai sasaran pertumbuhan pada tahun ini,” kata Zhu Haibin, ketua ahli ekonomi JP Morgan China. Namun beliau menambah “pelaburan terus mencatat kelemahan, terutamanya pelaburan persendirian.”

Selepas pertumbuhan pesat berdekad lamanya, penggubal dasar didakwa menggunakan perkembangan lebih lemah sebagai keseimbangan untuk pembaharuan struktural bertujuan memisahkan negara daripada eksport murah dan perbelanjaan kerajaan besar-besaran sebagai menyokong penggunaan domestik.

Namun angka terbaru menunjukkan perubahan terbukti sukar, dengan hutang melambung tinggi merupakan kebimbangan utama untuk pelabur global.

Pelaburan aset tetap, pengukur perbelanjaan infrastruktur, meningkat sembilan peratus pada separuh tahun pertama ekoran perbelanjaan kredit yang besar dalam suku pertama bertujuan merangsang ekonomi. – AFP