Ekonomi China, harga minyak jejas ringgit

Ekonomi China, harga minyak jejas ringgit

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) – Kejatuhan harga minyak serta ekonomi China yang suram merupakan penyumbang utama kepada penurunan nilai ringgit, menurut pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias berkata harga minyak mentah yang susut kepada US$50 setong baru-baru ini, tidak memihak kepada ekonomi Malaysia.

“Kejatuhan harga menyemarakkan spekulasi mengenai hasil kerajaan yang lebih rendah, sekali gus defisit fiskal dijangkakan lebih besar,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak yang rendah juga meningkatkan tekanan ke atas perdagangan luar Malaysia yang merekodkan pertumbuhan negatif dalam lima bulan pertama tahun ini, katanya. seterusnya akan mengurangkan lebihan akaun semasa negara dan mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya ‘defisit berkembar’, katanya.

Pertumbuhan dalam negara kasar Malaysia bagi 2015 juga mungkin terjejas jika harga minyak terus rendah di sepanjang tahun, mendorong aliran keluar modal seterusnya, terutama jika pelabur portfolio kurang yakin terhadap prospek pendapatan korporat,” katanya.

Bagi China, Zahidi berkata kedudukan ekonomi yang lemah akan memberi impak negatif memandangkan ia akan menjejaskan permintaan, menyebabkan penurunan dalam import dari negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM85.83 bilion dalam tempoh Januari-Mei 2015, dan oleh itu, ekonomi Malaysia turut merasakan bahang penurunan,” katanya.

Ahli ekonomi Kenanga Research Wan Suhaimie Saidie yang bersetuju dengan pandangan itu, berkata ringgit masih cenderung kepada aliran menurun dalam jangka pendek hingga tempoh sederhana.

“Kami menjangkakan turun naik ringgit akan reda dan kembali stabil sekitar RM3.65-RM3.75 menjelang akhir tahun,” katanya dan menambah impak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangkakan stabil menjelang akhir tahun.