Ekonomi China pengaruhi Asia Pasifik

Ekonomi China pengaruhi Asia Pasifik

BEIJING, 10 Mei (Bernama) – Pendekatan berterusan China menyeimbangkan ekonomi makronya termasuk menangani risiko berkaitan, terus menjadi punca utama ketidaktentuan ekonomi global khususnya di rantau Asia Pasifik, kata Fitch Ratings.

Malah, menerusi laporan terbaharunya “Risk Radar Asia Pacific” (Radar Risiko Asia Pasifik), agensi penarafan global itu menjangkakan ketidakseimbangan ekonomi makro China bagi jangka panjang, akan tetap ada biarpun kerajaannya melaksanakan pelbagai dasar mengurangkan risiko berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, pembuat dasar China perlu memutuskan tahap atau peringkat bagi memperkenalkan usaha pemulihan struktur itu dan pada masa sama menguruskan impak akibat kelembapan pertumbuhan itu.

“Kelemahan ekonomi China, ketidak-tentuan berhubung strategi ekonomi dan kehilangan keyakinan para pelabur juga boleh menyebabkan pengaliran keluar modal bersih dari negara itu yang melebihi jangkaan awal,” katanya.

Menurut Fitch, penurunan nilai yuan secara ketara pula boleh menyebabkan kelemahan kewangan yang ketara di rantau Asia Pasifik dan global.