Ekonomi digital main peranan

Ekonomi digital main peranan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Tidak dapat dinafikan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan yang penting dalam ekonomi dunia yang mana sumbangan daripada PKS mampu untuk membantu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu.

Kepentingan dan sumbangan PKS kepada ekonomi bukan sahaja bagi negara-negara membangun tetapi juga kepada negara-negara yang maju di mana PKS merangkumi serta memberikan sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara-negara berkenaan.

Oleh itu, peranan penting PKS kepada pembangunan dan ekonomi negara termasuk Negara Brunei Darussalam tidak dapat dinafikan di mana bagi menjana aspirasi mempelbagaikan ekonomi negara, ia memerlukan PKS tempatan bukan sahaja bersedia untuk bersaing tetapi juga berani untuk menerokai pasaran global.

Perkara itu antara yang dinyatakan oleh Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif, Darussalam Enterprise (DARE), Soon Loo ketika menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Pembiayaan Ekuiti Pilihan bagi PKS’ semasa Perbincangan Meja Bulat Tahunan Brunei Darussalam ke-12 yang berlangsung di Hotel Empire & Country Club, Jerudong, baru-baru ini.

Dalam pembentangan itu, Soon Loo menceritakan pengalamannya ketika memulakan perusahaan bersama rakan-rakannya di Amerika Syarikat di mana mereka berpeluang untuk memperoleh sumber dana bagi memajukan perusahaan dengan membentangkan idea perniagaan yang teratur dan berkesan kepada para pelabur yang berminat.

Soon Loo mengatakan Negara Brunei Darussalam mempunyai kriteria-kriteria yang menarik bagi pelabur asing sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ASEAN.
Soon Loo mengatakan Negara Brunei Darussalam mempunyai kriteria-kriteria yang menarik bagi pelabur asing sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ASEAN.

Menurutnya, perjalanan ke arah kejayaan bagi usahawan baru bukannya mudah tetapi ia penuh dengan pelbagai cabaran serta memerlukan kecekalan dan ketabahan untuk menghadapi segala cabaran itu supaya mampu menempuh kejayaan di akhir perjalanan mereka.

Beliau mengakui bahawa untuk mendapatkan pembiayaan bagi memulakan perusahaan atau perniagaan bukannya satu perkara yang mudah tetapi memerlukan pengorbanan dari segi waktu dan wang bagi pengusaha atau usahawan itu.

Sering kali bagi seorang usahawan tempatan, pembiayaan bagi perusahaan mereka kurang mendapat sokongan pembiayaan daripada pelabur kerana projek yang dilaksanakan mungkin kurang menyerlah dan kurangnya usahawan yang berkaliber.

Dalam pembentangannya itu, Soon Loo turut memberikan pandangan mengenai hala tuju dunia khususnya dunia perniagaan dan ekonomi dalam tempoh masa 10 hingga 20 tahun akan datang, yang menurutnya ekonomi digital akan memainkan peranan yang lebih utama.

Beliau berkata bahawa jika dilihat pada masa ini, kepentingan ekonomi digital tidak dapat disangkal lagi dan dalam dunia tanpa sempadan, ekonomi digital itu akan terus memainkan peranan yang penting serta akan memberikan penumpuan kepada sumber tenaga kerja yang berpendidikan serta celik IT.

Dalam tempoh yang sama, beliau juga percaya bahawa ASEAN akan melalui satu lagi pertumbuhan yang pesat di mana ia akan menjadi destinasi pelaburan yang menarik dan di samping itu, para pelabur juga akan memberikan keutamaan kepada gaya hidup yang hijau.

Kriteria-kriteria berkenaan, ulasnya, jika diperhatikan, menunjukkan bahawa para pelabur sedang mencari destinasi pelaburan yang stabil, mempunyai infrastruktur digital yang baik, mempunyai penduduk yang berpendidikan, berada di rantau ASEAN serta mempunyai alam sekitar yang hijau.

Kesemua kriteria itu, wujud di Brunei dan oleh itu, beliau percaya potensi negara untuk menjadi destinasi pelaburan terbuka luas dan kini, ia memerlukan usahawan-usahawan yang berkaliber untuk menerajui hala tuju ekonomi negara.

ARTIKEL YANG SAMA