Ekonomi domestik meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) hari ini mengeluarkan Kenyataan Dasar AMBD bagi separuh tahun pertama yang berakhir Jun 2017 lalu.

Dalam kenyataan dasar itu, AMBD mengatakan ekonomi global terus berkembang pada kadar sederhana manakala ekonomi domestik menunjukkan peningkatan dalam data eksport terkini berikutan meningkatnya harga minyak mentah. Inflasi domestik pada 2017 dijangka berada dalam lingkungan -1.1 peratus hingga -0.1 peratus.

Menurut AMBD, penunjuk kekukuhan kewangan (financial soundness indicator) yang utama bagi industri perbankan berada pada tahap yang baik walaupun dalam persekitaran global yang mencabar.

AMBD akan secara berterusan mengkaji semula peraturan dan persekitaran regulatori bagi menyediakan landskap sektor kewangan yang kondusif. AMBD juga sedang membangunkan dan menaiktarafkan rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan sejajar dengan piawaian dan amalan-amalan terbaik antarabangsa.

Negara Brunei Darussalam juga terus komited kepada dasar Lembaga Mata wang (Currency Board Arrangement) dan Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata wang dengan Republik Singapura.

Ini telah menyerlahkan kredibiliti dan keyakinan dalam kestabilan makroekonomi negara yang berterusan.

AMBD akan terus meningkatkan keupayaan dasar dan regulatori dalam melaksanakan peranannya ke arah menyumbang mencapai aspirasi kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk membangunkan negara ini sebagai sebuah pusat kewangan Islam yang bereputasi tinggi.

Kenyataan Dasar AMBD 1/2017 yang lengkap boleh didapati di laman web AMBD di www.ambd.gov.bn.