Ekonomi global kurang rangsangan

Ekonomi global kurang rangsangan

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) – Ekonomi global kini berada di persimpangan dan ‘terperangkap’ dalam kepentingan mengekalkan amalan sedia ada serta kekurangan rangsangan bagi melonjakkannya, kata agensi penyelidikan perniagaan New York, The Conference Board.

Ketua Ekonominya, Dr. Bart van Ark berkata biarpun terdapat banyak peluang teknologi dan inovasi, ia sebaliknya dijejaskan oleh kekurangan keyakinan perniagaan bagi melonjakkan pelaburan, pertumbuhan pelaburan, perniagaan yang tidak berkembang serta aspek perubahan dasar.

“Biarpun kebanyakan negara ekonomi maju berdepan pertumbuhan yang sederhana, ia banyak bergantung kepada kekuatan pengguna, perumahan dan pasaran buruh.

“Negara pesat membangun pula menyaksikan enjin pertumbuhannya terjejas akibat kesuraman prestasi komoditi dan kitaran tenaga, penyusutan pengaliran modal serta kesan akibat kepesatan pembangunan.

“Malangnya, dilema itu adalah sesuatu yang bakal berlaku dan menjadi penentu pertumbuhan global bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya ketika membentangkan analisisnya mengenai ‘Unjuran Ekonomi Global’ 2016 pada forum anjuran Institut Kewangan Asia, di sini, hari ini.

Pihak The Conference Board terbabit dalam keahlian perniagaan bebas serta usaha rangkaian penyelidikan atas kapasiti kepentingan awam.

Agensi itu turut menjangkakan ekonomi dunia akan berkembang 2.8 peratus pada 2016, peningkatan sedikit berbanding unjuran awal sebanyak 2.5 peratus.

Bagi tempoh 2016-2020, ia menyasarkan pertumbuhan purata 3.1 peratus, meningkat daripada unjuran bagi asas 2016.

Ini berdasarkan senario pertumbuhan yang menyederhana berikutan pengaruh faktor seperti penurunan harga komoditi, penyusutan kadar tukaran asing dan pindaan dasar monetari termasuk China yang mengelak impak kelembapan ekonominya manakala Rusia dan Brazil mencatat pemulihan yang sederhana.

“Aliran ini boleh bertukar pada bila-bila masa. Sehubungan itu, syarikat tidak lagi mengamalkan sikap tunggu dan berharap keadaan lebih baik sedangkan pada masa sama kehilangan peluang berikutan pelaksanaan teknologi baharu.

“Apabila kadar faedah naik, ia hanya menjadikan keadaan lebih penting untuk melabur secara produktif,” kata van Ark.

Sehubungan itu, beliau menyarankan syarikat untuk memberi tumpuan terhadap peluang hasil perjanjian pelbagai negara atau dua hala serta yang melibatkan soal cuaca.

“Berita baik di sini ialah kelembapan (ekonomi) China sudah pun berlaku biarpun tidaklah seteruk mana. Situasinya lebih kepada pelarasan secara berterusan terhadap pertumbuhan yang lebih perlahan berbanding impak secara mengejut,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA