Ekonomi Jepun mengecut, cetus spekulasi

Ekonomi Jepun mengecut, cetus spekulasi

TOKYO, 17 Ogos (AFP) – Ekonomi Jepun mengecut pada suku lalu, data rasmi menunjukkan hari ini, menambah spekulasi bank pusat akan dipaksa melancarkan lebih banyak perangsang tatkala kempen pertumbuhan “Abenomics” di Tokyo terbantut.

Ekonomi ketiga terbesar dunia itu merosot 0.4 peratus dalam tiga bulan hingga Jun – atau 1.6 peratus tahunan – disebabkan perbelanjaan pengguna yang lemah di tempat sendiri dan eksport lembap, selepas mencatat perkembangan dua suku berturut-turut.

Namun, angka yang disiarkan oleh Pejabat Kabinet adalah lebih baik daripada jangkaan pasaran iaitu kemerosotan sebanyak 0.5 peratus, atau kemerosotan tahunan sebanyak 1.8 peratus.

Penggunaan persendirian, yang menyumbang kepada kira-kira 60 peratus daripada KDNK Jepun, merosot 0.8 peratus daripada suku sebelumnya sementara eksport merosot 4.4 peratus.

“Kemerosotan mendadak daripada pertumbuhan mengejutkan pada suku sebelumnya sebahagiannya disebabkan permintaan mengecewakan untuk produk Jepun di AS, China dan pasaran lain,” kata SMBC Niko Securities dalam satu komentar.

“Pertumbuhan gaji yang lembah dan cuaca buruk menjejas penggunaan dalam negara,” tambahnya.

Kemelesetan itu didahului oleh pertumbuhan yang lebih kukuh daripada dijangka pada suku pertama didorong oleh pemulihan dalam perbelanjaan modal, dengan firma Jepun melaporkan keuntungan pada umumnya.