Ekonomi Malaysia lebih berdaya tangani krisis

Ekonomi Malaysia lebih berdaya tangani krisis

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Malaysia jauh lebih berdaya tahan berbanding jirannya Indonesia dalam menangani apa jua krisis ekonomi seperti yang dilakukannya semasa berdepan krisis kewangan Asia 1997/1998 didorong oleh kepelbagaian dan sistem kewangannya yang maju, serta faktor lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata tonggak kekuatan Malaysia yang lain

adalah pelaburan swasta yang berkembang sehingga 64 peratus daripada keseluruhan pelaburan pada 2014, dan seterusnya meningkatkan lagi kepada 71 peratus pada separuh pertama tahun ini dengan 97 peratus hutang kerajaan didenominasi dalam Ringgit Malaysia.

“Sistem kewangan Malaysia adalah maju dengan pasaran ekuiti dan modal hutang yang agak besar,” katanya bagi menyangkal nota kajian JP Morgan bertajuk ‘Is Malaysia taking the Indonesia Detour?’, dengan menunjukkan asas kedua-dua ekonomi itu yang jauh berbeza.

“Ekonomi Malaysia jauh lebih pelbagai, kebergantungannya kepada komoditi seperti pada 2014 (sebelum harga komoditi jatuh secara ketara) telah dikurangkan, contohnya sebanyak 18 peratus dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, 23 peratus dari aspek eksport dan 30 peratus dari pendapatan kerajaan,” katanya bagi mengulas nota kajian berkenaan.

“Diketuai oleh Maybank yang mempunyai operasi yang agak besar di Indonesia, boleh saya katakan asas ekonomi antara kedua-dua negara adalah sangat berbeza,” kata Abdul Wahid, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank – bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset – sebelum dilantik sebagai menteri.

Pada April 2015, Malaysia mula melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang memperluaskan lagi asas pendapatan dan sekaligus membantu sebahagian penurunan pendapatan minyak dan gas, katanya.

“Paras hutang kerajaan sebanyak 54 peratus adalah di bawah had yang ditetapkan sendiri 55 peratus dan dijangka berkurangan secara berperingkat memandangkan kita mempunyai sektor swasta untuk memacu pembentukan modal tetap dan pelaburan,” katanya.

“Pasaran modal hutang kita adalah paling maju di ASEAN dengan keupayaan membiayai projek prasarana jangka panjang. Bank-bank kita memiliki modal mencukupi, terurus dengan risiko baik dan pengurusan mudah tunai, dikawal selia dengan baik dan dipantau secara berkesan oleh Bank Negara Malaysia,” kata Abdul Wahid.

Paras hutang korporat pada 56 peratus bagi syarikat senarai awam adalah jauh lebih rendah berbanding semasa 1997/1998 dan kebanyakan hutang korporat juga adalah dalam denominasi Ringgit Malaysia, manakala syarikat yang meminjam dalam mata wang dolar Amerika Syarikat atau mata wang asing lain mempunyai aset dan aliran pendapatan yang sepadan. –

ARTIKEL YANG SAMA