Ekonomi Malaysia masih utuh

Ekonomi Malaysia masih utuh

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Penurunan ringgit yang berlaku sekarang tidak seteruk seperti krisis kewangan Asia 1997/98 berikutan asas ekonomi negara yang kukuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata sistem perbankan tempatan ditambah dengan aktiviti ekonomi, masih utuh untuk memacu pertumbuhan ekonomi, dan negara masih berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus tahun ini.

“Pada 1997 dan 1998 (krisis kewangan Asia), kita terjejas teruk,” katanya sambil menambah pada masa itu banyak faktor menjejaskan Malaysia, termasuk defisit perdagangan, rizab yang turun di bawah US$30 bilion dan paras pinjaman tinggi dalam kalangan syarikat.

“Paras kita pada masa sekarang telah berubah dengan pesat, dengan kita mencatatkan lebihan perdagangan yang konsisten, rizab kita tiga kali lebih besar berbanding pada masa itu dan paras hutang korporat kita yang sebenarnya jauh lebih rendah,” katanya kepada pemberita selepas Forum Hari Terbuka GLC, di sini, hari ini.