Ekonomi Malaysia meningkat 4.2 peratus

Ekonomi Malaysia meningkat 4.2 peratus

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) – Ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini, menyederhana sedikit berbanding 4.5 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya, berikutan perbelanjaan berhati-hati oleh sektor swasta dan kejutan luaran kepada ekonomi negara.

Meskipun pertumbuhan suku tahunan yang perlahan sejak suku ketiga 2009, negara berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 4-4.5 peratus tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim.

“Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perbelanjaan berhati-hati, dan ia tidak ada kena mengena dengan isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“(Ia disebabkan oleh) kestabilan pendapatan kita dan jaminan pekerjaan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan suku pertama KDNK di sini, Jumaat. Bagi asas suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak satu peratus.

Muhammad berkata aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan penggunaan meningkat 5.3 peratus disebabkan oleh pertumbuhan berterusan gaji dan pekerjaan.

“Ini merupakan penyumbang utama kepada sentimen berhati-hati perniagaan dan pelaburan rendah dalam sektor perlombongan huluan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA